Cabaran ekonomi tahun baharu 2019

A
A

TAHUN 2018 akan berakhir dan tahun baharu 2019 akan bermula. Seperti kebiasaan, pemergian tahun lama dan kedatangan tahun baharu menjadi penanda aras kepada apa yang telah dilalui dan kepada apa yang diharapkan.

Bagi kita di Malaysia, tahun yang akan berlalu ini membawa erti amat besar dalam sejarah kemerdekaan apabila pada 9 Mei lalu majoriti rakyat memilih Pakatan Harapan (PH) dan menolak Barisan Nasional (BN) yang sudah 61 tahun memerintah.

Dalam tempoh tersebut kita telah sedikit sebanyak melalui dan memahami apa yang baik dan buruk mengenai peralihan kerajaan.

Menjelang tahun baharu ini genaplah lapan bulan kerajaan PH mentadbir negara. Banyak tugas berat telah dilaksanakan tetapi banyak lagi yang wajib dilakukan. PH mengambil alih pada waktu ekonomi negara dan dunia berada dalam keadaan amat sukar akibat kejatuhan harga komoditi dan perang dagang yang semakin sengit di antara China dan Amerika Syarikat.

Kegiatan ekonomi dunia tahun 2018 ditutup dalam keadaan amat lemah di mana harga purata komoditi tenaga seperti minyak mentah, mengikut anggaran Bank Dunia, jatuh 13 peratus manakala komoditi pertanian jatuh 1.3 peratus. Sementara harga input pertanian seperti urea naik.

Sebagai sebuah negara perdagangan yang amat bergantung kepada pasaran antarabangsa untuk eksport dan import, perkembangan ini memberi kesan langsung kepada kita.

Walaupun kerajaan telah mengambil langkah bagi membantu golongan berpendapatan paling rendah, ini belum lagi memadai malah tidak ada negara di dunia yang dapat menampung sepenuhnya kejatuhan pendapatan rakyat mereka akibat kemerosotan harga komoditi.

Keadaan menjadi lebih sukar bagi kita apabila kerajaan baharu turut mengambil alih kewangan negara yang sangat teruk yang ditinggalkan oleh kerajaan BN. Seperti kita semua maklum hutang dan tanggungan kerajaan yang perlu dibayar sudah melebihi 1 trilion ringgit.

Bagaimanapun, tanpa disedari oleh banyak orang, ekonomi Malaysia sebenarnya mengakhiri tahun 2018 dalam keadaan yang lebih kukuh berbanding negara-negara jiran.

Di pihak yang lain pula kerajaan masih dalam proses memperbetulkan pentadbiran dan mendapatkan kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak, terutama kakitangan awam dan pengurusan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan(GLC).

Memang benar ada percubaan mensabotaj oleh segolongan kakitangan awam. Mereka ini sama ada saki-baki tali barut kerajaan lama atau mereka tidak dapat menerima cara pentadbiran kerajaan baharu, khususnya berhubung pembasmian rasuah. Hal sama masih berlaku dalam pengurusan GLC, termasuk yang sudah pun dirombak. Ini berlaku sama ada kerana mereka kurang pengalaman atau masih terikut-ikut dengan amalan zaman kerajaan lama.

Misalnya, baru-baru ini dilaporkan bahawa sebuah anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah memberi kontrak bernilai RM676.8 juta kepada sebuah syarikat usahasama yang membabitkan seorang tauke yang diketahui amat akrab dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Kontrak itu adalah untuk membina kompleks beli-belah projek Merdeka 118 milik PNB berhampiran tapak Stadium Negara lama. Ia diberikan kepada sebuah syarikat usahasama di antara WCT Holdings Berhad dan TSR Capital Berhad.

Yang menjadi punca kontroversi adalah hakikat bahawa pengerusi TSR adalah seorang bernama Tan Sri Desmond Lim Siew Choon. Beliau jadi terkenal apabila dikatakan telah membenarkan kondominium mewah miliknya di Pavilion digunakan oleh Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, untuk menyimpan wang tunai dan barang-barang mewah milik mereka.

Keakraban Lim dan Najib sudah diketahui umum. Lim yang berusia 56 tahun itu menjadi seorang pemaju yang berjaya dan terkenal apabila mendapat konsesi membina kompleks beli-belah dan penginapan The Pavilion di atas tapak Sekolah Perempuan Bukit Bintang.

Apa yang lebih memeranjatkan adalah Lim menjadi pengerusi WCT walaupun memiliki hanya 20 peratus saham syarikat tersebut sedangkan pegangan bersama sahamnya oleh PNB, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) adalah 35.1 peratus.

Sebenarnya jika syarikat-syarikat milik kerajaan ini berpakat, mereka mempunyai cukup undi dan pengaruh untuk melantik calon mereka sendiri untuk mempengerusikan Lembaga Pengarah WCT.

Kesilapan atau lepas pandang seperti inilah yang menyebabkan ramai penyokong PH bersungut bahawa mereka yang bertungkus-lumus berkempen dan menanggung risiko menyokong PH tetapi yang terus mendapat faedah daripada kerajaan baharu adalah penyokong dan kroni kerajaan lama.

Saya sangat berharap bukan sahaja anggota Kabinet dan pegawai kanan kerajaan, malah kepemimpinan agensi-agensi amanah seperti PNB dan GLC juga patut lebih cekap dan sensitif menjalankan tanggungjawab.

Adalah mustahil bagi kerajaan baharu menyelesaikan semua masalah dalam masa singkat dan memuaskan hati setiap penyokongnya, tetapi janganlah sampai nampak seolah-olah kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan.

Selamat Tahun Baharu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.