Lelaki didakwa simpan dompet curi

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menyimpan harta curi berupa sebuah dompet.

Bagaimanapun tertuduh, Mat Rani Sulong, 37, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 Ogos lalu kira-kira jam 6.45 petang di tepi jalan di Shahbandar dengan menyimpan harta curi berupa sebuah dompet kepunyaan Syarikat Jetz Marketing, yang mana dia tahu atau ada sebab-sebab mempercayai bahawa harta itu adalah harta curi.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Manakala di mahkamah yang sama, seorang lelaki, Che Fatul Nasran Che Mat, 19, didakwa kerana telah menceroboh masuk kawasan sebuah rumah dengan niat melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 Ogos lalu kira-kira jam 1.40 petang di kawasan sebuah rumah di Padang Midin tanpa kebenaran pemiliknya.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Abdul Hayyi kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 19 September depan untuk serahan dokumen dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua kes.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din.