X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

MT UMNO belum terima laporan siasatan terhadap Hishammuddin: Tok Mat

A
A

SEREMBAN – Kepimpinan tertinggi UMNO masih belum menerima laporan daripada lembaga disiplin parti itu berhubung siasatan terhadap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, siasatan dibuat berkemungkinan ada ahli parti yang membuat aduan terhadap bekas Naib Presiden UMNO itu dan ia adalah proses biasa.

“Secara lazimnya jawatankuasa disiplin akan menerima apa sahaja aduan dari ahli parti dan siasatan akan dilakukan kerana mereka adalah satu badan bebas.

“Bila siasatan mendapati wujud kes prima facie, maka mereka akan merujuknya kepada jawatankuasa pengurusan parti yang kemudian akan bawa kepada majlis kepimpinan tertinggi parti yang akan membuat keputusan akhir.

“Tapi setakat ini tiada pula apa-apa rujukan dibuat kepada jawatankuasa pengurusan parti dan saya rasa apa yang dihebohkan itu boleh jadi ada yang buat tuduhan atau aduan kepada jawatankuasa disiplin UMNO,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Sembilan hari ini.

Namun beliau berpendapat lembaga disiplin UMNO tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan kepada media dan hanya menjalankan siasatan.

Bagaimanapun beliau menyifatkan ia biasa kerana terdapat banyak kes dirujuk kepada badan berkenaan untuk disiasat di seluruh negeri.

Mohamad berkata, bagi mengurangkan beban kerja yang ditanggung badan berkenaan, jawatankuasa itu akan dicadang ditubuhkan secara tetap di setiap negeri.

“Perkara itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Agung UMNO pada bulan November ini kerana kita dapati terlampau banyak kes dirujuk dan terpaksa diuruskan oleh jawatankuasa ini menyebabkan ada proses siasatan mengambil masa sehingga setahun.

“Biasanya selepas perhimpunan atau pemilihan, banyak aduan diterima terutama dari akar umbi dan cawangan. Biasanya jawatankuasa ini akan diwujudkan di negeri, bila ibu pejabat minta negeri itu siasat terhadap sesuatu aduan diterima,”katanya.

Bagaimanapun katanya, kuasa membuat keputusan terhadap setiap hasil siasatan dilakukan masih terletak kepada majlis tertinggi parti.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Lembaga Disiplin UMNO mengesahkan pihaknya kini sedang menyiasat Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci termasuk punca bekas Naib Presiden UMNO disiasat.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!