Dua lelaki disyaki curi tabung masjid ditahan

Dua suspek disyaki curi tabung masjid yang dirakam kamera kitar tertutup (CCTV) masjid itu.
Dua suspek disyaki curi tabung masjid yang dirakam kamera kitar tertutup (CCTV) masjid itu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Dua lelaki ditahan tidak sampai 24 jam selepas disyaki mencuri tabung Masjid Al-Hakim, Kampung Pengkalan Renggam, Kandang, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Jalan Saujana Permai, Ayer Keroh dan Taman Bukit Katil antara jam 5.30 hingga 6.35 petang semalam.

Menurutnya, penahanan kedua-dua suspek itu dibuat selepas mereka disyaki terbabit dalam kejadian pecah tabung masjid yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM1,700.

"Bertindak atas maklumat, pasukan polis ke Jalan Saujana Permai dan menahan seorang lelaki berusia 26 tahun kira- kira jam 5.30 petang.

"Menerusi soal siasat awal dilakukan ke atas suspek pertama telah membawa kepada tangkapan suspek kedua berusia 22 tahun pada jam 6.35 petang di Taman Bukit Katil," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini hari ini.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan juga mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan semakan lanjut juga mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Sebuah motosikal Yamaha Avantis, spanar dan besi yang dipercayai digunakan suspek dalam melakukan jenayah itu turut dirampas.

"Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: