Bekas pembantu Najib nafi terima ganjaran daripada Jho Low

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan bahawa US$884,996.78 (RM3.7 juta) yang dimasukkan ke dalam akaun Bank BSI Switzerland beliau adalah ganjaran daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata demikian dalam pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari kelima perbicaraan bekas Perdana Menteri itu berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saksi pendakwaan kelapan itu juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa beliau menerima wang itu daripada Jho Low kerana beliau banyak menolong Jho Low selama beberapa tahun.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa akaun Bank BSI Switzerland itu yang didakwa dibuka untuk tujuan politik hanyalah satu rekaan atau imaginasi semata-mata.

Muhammad Shafee: Dalam penyataan saksi kamu, kamu ada menyebut bahawa kamu perlu bekerjasama dengan Jho Low untuk membuka akaun kerana kamu ditekan dan kehidupan serta karier kamu terancam?

Amhari Efendi: Ya.

Muhammad Shafee: Mengikut pemahaman kamu, siapa orang yang akan mengancam kamu? Najib?

Amhari Efendi: PM (Najib) berkuasa, kehidupan tidak semestinya bermaksud'nyawa', juga tekanan dalam pekerjaan sehari-hari dan saya pun tak tahu apa yang diterjemahkan oleh Jho Low kepada PM dan bos saya (Datuk Azlin Alias, yang pada masa itu adalah Ketua Setiausaha Sulit Najib). Tetapi, selepas Jho Low pergi, Datuk Azlin menasihati saya supaya mengikut arahan Jho Low untuk membuka akaun di luar negara.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee: Kamu rasa ancaman itu daripada Pejabat Perdana Menteri atau Perdana Menteri (Najib)?

Amhari Efendi: Bukan secara langsung daripada Perdana Menteri. Jho Low mendapat restu daripada Najib. - Bernama