Chubb-E sanggup tinggalkan zaman remaja

Penyanyi, Chubb-E
Penyanyi, Chubb-E
A
A
A

KEBIASAANNYA kehidupan remaja sinonim dengan perhubungan cinta. Masa pun banyak diluangkan dengan rakan karib.

Namun berbeza dengan, penyanyi kelahiran program realiti pertandingan nyanyian Ceria Popstar musim kedua dan Ceria Megastar 2018, Chubb-E yang lebih fokus terhadap bidang muzik.

Pemilik nama penuh Muhammad Sharul Aslyn Ag. Ashrul Affandy berkata, sebagai anak sulung daripada empat adik-beradik dia perlu menunjukkan contoh yang terbaik.

“Sebagai seorang abang memang seharusnya saya menunjukkan teladan yang baik kepada adik-adik saya yang masih bersekolah.

“Saya mahu buktikan, biarpun tidak berjaya dalam akademik namun bersandarkan minat kita dapat harungi hidup ini dengan berusaha melalui kecenderungan yang ada.

“Apatah lagi, saya bukannya datang daripada keluarga yang senang. Oleh sebab itu, saya ukur baju di badan sendiri dan berusaha keras untuk berjaya dalam bidang yang saya usahakan sekarang ini,” ujarnya yang mengakui kebanyakan masa banyak dihabiskan di studio rakaman.

Dalam pada masa yang sama, remaja berasal dari Papar, Sabah tersebut mengimpikan agar suatu hari karyanya diangkat ke Anugerah Juara Lagu atas kapasiti seorang penggubah lirik dan lagu.

“Selepas program Ceria Popstar lalu, saya sudah berjinak-jinak menggubah lirik dan lagu. Saya pernah bekerja dengan sound engineer Luncai Emas tentang cara-cara menghasilkan lagu.

Artikel Berkaitan:

“Sejak itu saya terus minat dan sampailah ke hari ini saya masih mengasah bakat terpendam ini.

“Saya berharap supaya satu hari nanti, lagu hasil ciptaan saya sebagai komposer berjaya memasuki AJL,” jelasnya yang menjadikan Faizal Tahir, Alif, dan Sonaone sebagai rujukan dalam penghasilan muzik.

Chubby-E berlakon dengan penyanyi Mark Adam.
Chubby-E berlakon dengan penyanyi Mark Adam.



Selepas single pertama berjudul Aku Tak Kisah mendapat sambutan baik daripada pendengar dan peminat, Chubb-E kini tampil dengan buah tangan baharu, Kita Cuma Kawan.

Dicipta sepenuhnya oleh Chubb-E dan diadun oleh Aziquebeats, lagu tersebut menceritakan tentang perhubungan seorang lelaki ataupun wanita yang mengharapkan cinta terbalas namun balasan hanya lebih selesa sebagai teman biasa.

“Alhamdulillah lagu pertama setakat hari ini sudah mendapat tontonan 119,000 dan ramai yang komen jujur saya boleh buat yang lebih baik lagi.

“Lagu pertama saya itu menenai generasi muda hari ini, buat apa pun tidak mempedulikan kata-kata orang sekeliling.

“Bagaimanapun, single kedua saya ini pukulannya lain macam. Biarpun baharu sahaja dilancarkan awal Ogos, tetapi sudah meraih tontonan sebanyak 252,000.

“Mungkin single kedua saya lebih kena pada jiwa pendengar,” jelasnya.

Berkongsi mengenai perkembangan lain, juara Ceria Megastar 2018 itu sedang sibuk dalam proses menyiapkan single baharu Megat Rahim.

“Sekarang ini sudah 50 peratus siap dari segi melodi, muzik dan lirik. Kini hanya menunggu Megat masuk studio untuk proses rakaman.

“Insya-ALLAH selepas ini saya berangan-angan dahulu untuk hasilkan lagu buat peserta Big Stage 2019, Chaleeda.

“Selain itu, saya juga sedang sibuk dalam rangka promosi single sendiri,” katanya.