Polis Pahang lancar 'Jihad Dadah'

 Abdul Jalil
Abdul Jalil
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang akan melancarkan 'Jihad Dadah' bagi menangani gejala penyalahgunaan dadah secara besar-besaran dan menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya kini sedang melakukan penelitian dan kajian serta sedang mengenal pasti kawasan tumpuan dadah di negeri ini terutama melibatkan kawasan tanah rancangan Felda.

Menurutnya, kempen tersebut merupakan kesinambungan daripada kejayaan kempen yang dilaksanakan di Kedah sebelum ini dalam memastikan kawasan tumpuan bebas dadah.

"Kempen ini kita bersihkan kawasan tersebut daripada dadah atau terbabit dengan dadah dan kempen seperti ini telah berjaya dilaksanakan di Kedah dan kita cuba untuk lakukan pula di negeri ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, di sini hari ini.

Dalam pada itu Abdul Jalil mengharapkan orang ramai menyokong dan memandang positif pelaksanaan kempen berkenaan.

Beliau berkata, untuk peringkat permulaan, pihaknya akan bekerjasama dengan masyarakat setempat untuk mengenal pasti kawasan tumpuan dan melancarkan kempen pembersihan dadah di kawasan terbabit.

"Setelah kita lakukan pembersihan, kita akan menyerahkan keselamatan dan keamanan dari sudut jenayah dadah kepada ketua masyarakat, orang ramai malah dengan penagih serta waris menagih.

"Ini untuk kita pastikan agar penagih tidak kembali kepada dadah dan kita mahukan kawasan tempat tinggal mereka tidak berulang dengan jenayah dadah dan dapat dihapuskan selama-lamanya," katanya.

Artikel Berkaitan: