X

Kindly register in order to view this article
!

Hantar pulang enam rakyat Turki bukan semberono: KPN

Abdul Hamid (tengah) pada sidang media selepas istiadat penganugerah pingat jasa pahlawan, di sini hari ini.
A
A

GERIK - Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menegaskan polis tidak menghantar enam sekeluarga rakyat Turki yang didakwa terlibat pengganas pulang ke negara mereka secara semberono.

Beliau berkata, tindakan menghantar pulang enam individu termasuk empat kanak-kanak itu setelah pihak Turki meyakinkan polis bahawa mereka terlibat dengan pengganas yang digerakkan menerusi sekolah diajar oleh lelaki yang juga ketua keluarga itu.

Menurutnya, beliau yakin enam sekeluarga itu akan diberikan pembelaan sewajarnya di negara asal mereka.

"Kita dapat maklumat daripada pihak sana bahawa guru berkenaan terlibat dalam satu kumpulan yang anjur dan gunakan kekerasan dan dikatakan melancar rampasan kuasa berdarah menyebabkan 200 orang mati.

"Kita dapat maklumat, kita ambil tindakan, saya yakin apabila diserahkan mereka akan mendapat keadilan di bawah sistem perundangan negara Turki," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontijen Perak 2019 kepada 500 penerima di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan kepada 76 pesara era darurat dan insurgens komunis, 224 pesara polis berpencen dan 200 pegawai polis yang masih berkhidmat.

Beliau berkata, kesemua ahli keluarga rakyat Turki berkenaan dibawa pulang oleh pihak polis Turki menaiki penerbangan biasa minggu lalu yang diuruskan pihak kedutaan negara tersebut di Malaysia.

Abdul Hamid turut menegur Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) agar tidak membuat sebarang tuduhan melulu terhadap PDRM mengenai insiden tersebut.

"Kalau tidak puas hati mereka boleh datang ke pejabat saya dan saya nak jelaskan kepada mereka.

"Saya yakin dia akan dapat pembelaan dari segi undang-undang dan apabila ada kaitan dengan keganasan kita beri kerjasama sepenuhnya," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan pihaknya tidak memiliki maklumat sama ada enam keluarga Turki yang dihantar pulang ke negara asal akan disiksa atau tidak.

ARTIKEL BERKAITAN: Hantar pulang keluarga Turki tak sama dengan kes Zakir