'Usaha pisahkan UMNO dan Pas hanya sia-sia'

Annuar
Annuar
A
A
A

POKOK SENA - Sebarang usaha untuk memecahbelahkan UMNO dan Pas tidak akan berjaya kerana kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu akan terus mempertahankan antara satu sama lain.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO akan mempertahankan Pas dalam apa jua cara dan begitu juga Pas yang akan sentiasa berada di belakang UMNO.

Katanya, selagi UMNO dan Pas berpegang pada tali ALLAH SWT, sebarang usaha untuk menggugat kerjasama kedua-dua parti itu tidak akan berhasil malah hanya sia-sia.

"Tambahan pula, pelancaran Piagam Muafakat Nasional yang akan dimeterai pada 14 September ini juga adalah permulaan kepada kedua-dua parti ini untuk terus bergerak ke hadapan," katanya ketika berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah peringkat negeri di Muassasah Darul Ulum, di sini malam tadi.

Annuar (tengah) bergambar bersama barisan pimpinan UMNO dan Pas yang hadir pada Himpunan Penyatuan Ummah peringkat negeri di Muassasah Darul Ulum di sini malam tadi.
Annuar (tengah) bergambar bersama barisan pimpinan UMNO dan Pas yang hadir pada Himpunan Penyatuan Ummah peringkat negeri di Muassasah Darul Ulum di sini malam tadi.

Menurutnya, UMNO dan Pas juga sedia berbincang sekiranya didapati wujud perbezaan pendapat antara mereka.

"Mungkin kita akan ada berbeza pendapat, berbeza pendekatan tetapi sekarang bila ada ta'awun, sebarang beza pendapat kami boleh duduk berbincang.

"Mungkin juga ada perkara furuq (ranting) tapi kami berikrar tulis dalam piagam itu nanti, sekiranya ada permasalahan kepada kami, kami akan kembali merujuk kepada sumber iaitu al-Quran, as-sunnah, ras dan ijma' ulamak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, tidak ada sebab mana-mana pihak takut dengan ta'awun kerana manfaat kerjasama itu bukan sahaja dirasai orang Islam tetapi seluruh umat di negara ini.

Turut hadir Naib Presiden Pas, Idris Ahmad, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri, Dr Ahmad Fakhruddin Ahmad Fakhrurazi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas-UMNO meterai piagam 14 September