Bumiputera dan sistem dunia

A
A

KOLUM: KUASA KATA

MINGGU ini, dua isu ekonomi politik mencuri tumpuan. Jika dalam negara, isu kempen ‘Utamakan Produk Muslim dan Bumiputera’ menimbulkan kemarahan beberapa menteri dan wakil rakyat DAP serta pengikut mereka, di luar negara pula pemikir neo-Marxis yang memperkenalkan teori Sistem-Dunia, Immanuel Wallerstein (1930-2019) telah meninggal dunia pada 31 Ogos baru-baru ini.

Kebetulan, kedua-dua peristiwa itu melibatkan satu pola yang sama iaitu pihak daripada kelas yang lebih ramai (majoriti) tetapi lemah dari segi penguasaan ekonomi dan bergantung pula pada pihak daripada kelas yang lebih minoriti tetapi memiliki pegangan ekonomi raksasa.

Dalam konteks Malaysia, pihak yang majoriti tetapi inferior dari segi pemilikan ekonomi ialah Melayu-Islam dan bumiputera manakala golongan bukan Melayu pula lebih dominan.

Dalam konteks teori Sistem-Dunia (World-System Theory) yang dipelopori Wallerstein pula, unit analisisnya bukan kaum mahupun negara sebaliknya sistem dunia iaitu akumulasi interaksi antara modal dan negara. Terdapat tiga kategori menurut Wallerstein iaitu negara teras (core), negara separa-pinggir (semi-periphery) dan negara pinggir (periphery).

Menurut Wallerstein, negara-negara teras memiliki ekonomi berasaskan kepakaran tinggi dan pengeluaran intensif modal seperti Belanda, United Kingdom (UK), dan Amerika Syarikat (AS) manakala negara-negara pinggir pula berasaskan ekonomi berkemahiran rendah, pengeluaran intensif buruh serta ekstrak sumber bahan mentah (negara Timur Tengah dan Rusia).

Negara separa-pinggir pula ialah negara yang berjaya memanfaatkan kemajuan (pemindahan) teknologi dan kedudukan geografi bagi memajukan status mereka mendaki tangga mobiliti sosial dalam hierarki ekonomi antarabangsa untuk menjadi negara sedang membangun.

Maka, dalam konteks Malaysia, golongan Melayu-Islam dan bumiputera hari ini bolehlah diibaratkan seperti mana aktor negara pinggir yang sedang berusaha untuk mendaki hierarki penguasaan ekonomi dalam negara melalui kempen ‘utamakan membeli barangan Muslim dan bumiputera.

Suntikan dana

Hakikatnya, usaha itu sememangnya memerlukan modal yang besar. Suntikan dana daripada kerajaan sahaja tidak mencukupi. Malah, pada sisi yang lain, kempen itu sepadan dengan usaha kerajaan untuk membangunkan ekonomi bumiputera melalui badan seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Untuk rekod, sehingga Mac 2019, Teraju melaporkan bahawa mereka berjaya mencipta nilai sebanyak RM145.31 bilion untuk bumiputera, mencipta lebih daripada 50,000 peluang pekerjaan, RM14.79 bilion pelaburan swasta bumiputera daripada Dana Mudahcara serta mencatat sebanyak RM9.01 bilion modal pasaran daripada penyenaraian syarikat bumiputera di Bursa Malaysia.

Namun begitu, menurut Pengarah Eksekutif INSKEN, Norizan Sharif pada 2015: “Daripada keseluruhan syarikat di Malaysia, 27 peratus adalah syarikat milik bumiputera dan 90.7 peratus syarikat itu adalah mikro. Apabila syarikat itu dibesarkan, maka sumbangannya kepada ekonomi negara juga menjadi lebih besar."

Kenyataan itu disokong pula oleh data Teraju sendiri: "bumiputera mewakili 57.5 peratus tenaga kerja Malaysia yang berjumlah 8.35 juta orang. Data berkenaan gaji yang direkodkan oleh tenaga kerja sektor swasta pada 2016 menunjukkan bahawa gaji purata masyarakat bumiputera adalah jauh lebih rendah berbanding kaum yang lain.”

Secara tidak langsung, tiada salahnya dengan kempen mengutamakan barangan dan perkhidmatan bumiputera dan Melayu-Islam ini kerana ia bukanlah kempen ‘boikot’ seperti mana yang sengaja disalahertikan.

Tidak hairanlah apabila Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim sendiri menulis: “Kuasa membeli terbesar terletak pada tangan umat Islam di negara ini. Sewajibnya Muslim mesti mengutamakan produk saudara Muslimnya sendiri." Dengan memetik kisah Nabi SAW memuji kaum al-Asy’ariyyin iaitu kaum Abu Musa al Asy’ari yang mengutamakan kaum sendiri yang saling tolong-menolong sesama mereka ketika susah.

Sabda baginda: “Sesungguhnya kaum al-Asy'ariyyin apabila keluar berperang atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ringkasnya, kempen utamakan barang dan perkhidmatan bumiputera tidak sepatutnya dipandang negatif.

*Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.