Antara kempen dan boikot

A
A
A

MEMANG tidak ada hubung kait pun antara kempen dan boikot. Namun dua perkara inilah yang paling riuh diperkatakan oleh rakyat Malaysia ketika ini.

Isu itu timbul selepas ada gerakan dan kempen besar-besaran di media sosial supaya pengguna bumiputera mengutamakan barangan serta produk yang dihasilkan oleh bumiputera sahaja. Malangnya ia telah disalah tafsir sebagai tindakan boikot barangan bukan bumiputera oleh sesetengah pihak.

Isu kempen dan boikot bertambah panas apabila beberapa menteri Kabinet secara terbuka telah menyelar perbuatan itu sebagai tidak waras dan cetek pemikiran.

Paling mengejutkan sudah tentulah apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sendiri menempelaknya sampai sanggup mendesak Pas dan UMNO supaya mengecam tindakan itu sebagai bukti bahawa mereka tidak menentang bukan Islam dan bukan bumiputera.

Malah, begitu menggelabahnya Guan Eng sampaikan pihak yang terbabit dengan kempen itu telah dicap sebagai ‘perkauman dan pelampau agama’.

Hairan juga mengapa jadi takut dan marah sangat dengan kempen itu sehingga tergamak mengheret sensitiviti kaum dan politik? Apa kena mengena Pas dan UMNO dalam gerakan itu? Teruk sangatkah mereka yang melakukan kempen itu sampai digelar rasis dan pelampau?

Kalaupun berlaku, apakah ekonomi negara akan hancur dengan sekelip mata hanya disebabkan dengan tindakan mengutamakan barangan bumiputera? Tidak ada kesan positif langsungkah kalau ia benar-benar berlaku?

Kalaulah penulis jadi Guan Eng, sepatutnya tiada apa yang perlu ditakutkan.

Artikel Berkaitan:

Pertama, kalau ikut sejarah pemboikotan di Malaysia ini banyak yang hangat-hangat tahi ayam sahaja. Trendnya bermusim. Lihat sahajalah bagaimana kempen memboikot produk dan barangan keluaran Yahudi satu ketika dahulu hanya hangat dipermulaan, namun akhirnya apabila suasana reda, semuanya kembali seperti biasa.

Begitu juga dengan kempen-kempen kerajaan terdahulu seperti ‘Buy British Last’ atau ‘Belilah Barangan Buatan Malaysia’ yang semua sudah maklum kesudahannya.

Sebab itu perkara ini sepatutnya harus dipandang dari sudut kepenggunaan, bukannya perkauman. Benar perbuatan memboikot mana-mana produk tidak bagus untuk ekonomi mana-mana pihak, apatah lagi negara. Tetapi dari sudut kepenggunaan, pengguna ada hak untuk tidak membeli malah memboikot barangan tertentu atas alasan apa pun.

Kalau kerajaan sendiri pernah meminta pengguna menggunakan kuasa mereka untuk memboikot produk atau perniagaan tertentu ketika krisis harga barang suatu ketika dahulu, maka secara implisit ia memang dibolehkan berlaku.

Jadi apa salahnya kalau ada gerakan kesedaran kepenggunaan dan kesepakatan yang berlaku dalam kalangan bumiputera Islam untuk menggunakan produk dan barangan bumiputera.

Yang jelas, perkara ini sudah lama berlaku. Tetapi malangnya kenapa ia dipolitikkan ketika suhu politik negara sudah sedia panas dengan pelbagai isu yang telah berlaku sebelum ini.

Mengapa tidak melihat aspek positif daripada kempen terbabit. Sebagai contoh impak ekonomi yang bakal dinikmati oleh negara menerusi penciptaan usahawan baharu dalam industri kecil dan sederhana (IKS).

Perluasan IKS itu akan mencipta peluang-peluang pekerjaan dan sekali gus membantu kerajaan mengurangkan jumlah pengangguran dan menambah pendapatan menerusi hasil cukai dan limpahan ekonomi yang lain. Ini akhirnya akan menguntungkan semua pihak menerusi penciptaan ekosistem perniagaan yang kondusif dan mapan menerusi industri huluan dan hiliran yang membantu melengkapkan dan mengukuhkan rantaian nilai industri negara.

Adalah lebih baik sebagai Menteri Kewangan, Guan Eng menggunakan sepenuhnya tenaga dan masanya memikirkan bagaimana mahu merangsang ekonomi negara dan menggalakkan rakyat berbelanja.

Mungkin sebagai permulaan apa kata Guan Eng menyokong dan membantu menjayakan kempen itu. Lagipun bukankah amalan ‘Bumiputera Didahulukan’ telah menjadi sebahagian daripada dasar di Kementerian Kewangan.

Sebab itu lain kali, janganlah gopoh, gelojoh dan cepat sangat menggelabah dengan apa yang berlaku.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)