One Hope bantu tidak kira bangsa

One Hope menerima pelbagai sumbangan keperluan asas daripada penyumbang yang mahu turut sama berbakti kepada masyarakat.
One Hope menerima pelbagai sumbangan keperluan asas daripada penyumbang yang mahu turut sama berbakti kepada masyarakat.
A
A
A

BUKAN warna kulit menjadi ukuran, namun nyawa dan kebajikan masyarakat lebih berharga dan menjadi keutamaan kepada organisasi yang dikenali sebagai One Hope Charity & Welfare Berhad (One Hope).

Ditubuhkan pada 2002, badan kebajikan diasaskan seorang usahawan, Chua Sui Hau, 47, telah membantu lebih 100,000 orang bagi mendapatkan dana perubatan seperti menampung kos pembedahan, membeli katil khas, mesin bantuan oksigen, kerusi roda, ubat-ubatan dan pelbagai bantuan lain.

Sui Hau yang telah 20 tahun bergelumang dengan aktiviti kebajikan di negeri ini berkata, bukan dana perubatan semata-mata yang diperlukan pesakit, namun perhatian yang berterusan selain sokongan moral juga perlu diberikan bagi memberi semangat kepada mereka untuk melawan penyakit demi meneruskan kehidupan.

Menurutnya, walaupun banyak NGO dan agensi kerajaan lain yang membantu dalam menjaga hal ehwal kebajikan rakyat, namun ada dalam kalangan pesakit terpaksa berdepan dengan beberapa karenah birokrasi sebelum bantuan disalurkan, malah ada yang tidak dipedulikan selepas bantuan diberikan.

"Bukan mahu membezakan kami (One Hope) dengan badan kebajikan lain, namun beberapa kes yang kami temui sebelum ini, ada dalam kalangan pesakit yang lambat menerima bantuan mereka dan meninggal dunia sebelum menjalani rawatan serta pembedahan kerana kekurangan dana.

Bapa kepada bayi Nur Zulaikha Aqeela,3 bulan Mohd Daud yang menerima bantuan daripada One Hope selepas anaknya menghidapi masalah jantung menyampaikan cenderahati kepada Sui Hau sebagai tanda terima kasih.
Bapa kepada bayi Nur Zulaikha Aqeela,3 bulan Mohd Daud yang menerima bantuan daripada One Hope selepas anaknya menghidapi masalah jantung menyampaikan cenderahati kepada Sui Hau sebagai tanda terima kasih.

"Di One Hope, apabila kami menerima sesuatu kes, pasukan khas kami akan bertindak segera melihat apa yang diperlukan oleh pesakit, malah kami juga mempunyai panel penasihat yang terdiri daripada doktor pakar untuk menilai kes yang perlu didahulukan kerana bimbang nyawa mereka terancam," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Rakyat Malaysia pemurah

Mengimbas kembali kisah awal penubuhan One Hope, Sui Hau berkata, pada mulanya dia menceritakan mengenai hasratnya untuk membantu mereka yang memerlukan kepada rakan-rakan terdekat, namun mereka menganggap perkara itu sukar untuk dilakukan kerana tidak mempunyai dana bagi membantu orang miskin setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Namun dia tidak mengendahkan kritikan itu dan terus berusaha mencari penderma bagi membantu mereka terutama yang benar-benar memerlukan.

"Pelbagai cara yang dilakukan bagi mendapatkan dana, malah setiap kes yang diterima akan kami tularkan di media sosial mahupun di akhbar bagi menarik perhatian masyarakat lain.

"Hakikat ini yang perlu kita semua tahu sebenarnya rakyat Malaysia banyak yang pemurah dan baik hati, ramai yang menyumbang tanpa mengira kaum dan agama. Bagi mereka walaupun warna kulit kita berbeza, namun darah kita semuanya berwarna merah dan nyawa lebih bernilai dari segala-galanya," katanya.

Penerima bantuan kaki palsu bergambar bersama jawatankuasa badan kebajikan One Hope selepas majlis penyerahan yang diadakan awal tahun ini.
Penerima bantuan kaki palsu bergambar bersama jawatankuasa badan kebajikan One Hope selepas majlis penyerahan yang diadakan awal tahun ini.

Bermula dengan hanya 20 orang sukarelawan yang menggerakkan badan kebajikan itu, kini selepas 16 tahun beroperasi, One Hope memiliki lebih 2,000 sukarelawan di seluruh negara dalam mengadakan pelbagai aktiviti kebajikan dan bantuan.

Malah, ada dalam kalangan bekas penerima bantuan yang mahu berbakti semula kepada One Hope bagi membantu badan kebajikan itu mencari dana untuk membantu pesakit lain, dan mereka dilihat seperti adik-beradik bagi membantu insan yang memerlukan.

Lima hingga 10 kes setiap hari

Ditanya mengenai jumlah kes ataupun permohonan yang diterima, Sui Hau berkata, setiap hari pihaknya menerima purata lima hingga 10 kes pesakit yang memerlukan dana perubatan, malah ada juga yang datang meminta bantuan makanan serta keperluan asas.

"Kita mahu lebih banyak masyarakat bersama dalam memperjuangkan hal kebajikan ini, kerana ia dapat melahirkan suasana hidup bertoleransi dan muhibah.

"Sejak dahulu lagi kita hidup dalam suasana harmoni dan diharapkan dengan usaha ini ia akan dapat menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan kita seperti pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sekiranya kita memudahkan urusan orang lain pada hari ini, mungkin suatu hari nanti kita pula memerlukan bantuan orang lain," katanya.