Pencen 65 tahun tidak praktikal

 Razali
Razali
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu membantah keras cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk meningkatkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun.

Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, cadangan itu bukan sahaja tidak praktikal malah akan meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan anak muda di negara ini.

Malah, beliau turut menyarankan agar mereka yang ingin berkhidmat lebih lama dalam kerajaan untuk masuk dalam bidang politik yang disifatkan lebih sesuai kerana tiada had usia.

“Kalau mereka ini tak nak pencen, boleh masuk politik. Dalam politik boleh jadi wakil rakyat, boleh jadi menteri. Mereka boleh pegang jawatan sehingga dia sendiri ditolak.

“Kita mohon agar kerajaan tidak ikut kehendak mereka untuk naikkan had umur pencen, sebaliknya kerajaan perlu buat kajian balik supaya had umur pencen diturunkan kepada 55 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Razali, usia 55 tahun ke atas bagi penjawat awam disifatkan sudah tidak produktif kerana produktiviti kerja sudah menurun.

Malah katanya, ramai kalangan penjawat awam yang mengambil keputusan bersara awal pada usia 50 tahun, sedangkan golongan yang mempertahankan agar had umur bersara dinaikkan kebanyakannya terdiri daripada mereka yang bergaji besar.

“Sekarang ini, pengangguran dalam kalangan anak muda dianggarkan kira-kira 500,000 orang. Biarlah kita beri peluang untuk anak-anak muda ini mengambil tempat. Orang muda akalnya lebih ‘segar’, kita beri peluang pula kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

“Cuma kerajaan boleh bantu golongan yang akan menuju ke usia persaraan dengan skim tertentu, seperti cara untuk membuka perniagaan sendiri, supaya mereka lebih bersedia menuju usia persaraan,” katanya.

Beliau menambah, akan membawa cadangan untuk menurunkan had umur pencen kepada 55 tahun ke Dewan Negara dalam masa terdekat, bagi memberi peluang generasi baharu menduduki tempat-tempat dalam kerajaan.