X

Kindly register in order to view this article
!

Kesal dituduh pura-pura jadi OKU

Noorzlina menunjukkan kad OKU yang memperakui dirinya cacat anggota fizikal.
A
A

GEORGETOWN - Seorang wanita kesal dituduh berpura-pura jadi orang kurang upaya (OKU) untuk meraih perhatian ketika insiden barang perniagaannya dirampas pihak berkuasa tempatan (PBT).

Noorzlina Md Ibrahim, 41, yang juga OKU fizikal turut meluahkan rasa kesal dituduh mengambil kesempatan dengan keadaannya untuk kepentingan diri selepas video insiden berkenaan tular di media sosial.

"Saya jadi OKU sejak 20 tahun lalu dan sampai sekarang saya masih terima rawatan pada tulang pinggul saya yang patah ini. Saya buat 16 kali pembedahan tetapi saya tidak pernah berharap dengan sesiapa.

"Saya kesal apabila ada pihak menuduh saya berpura-pura jadi OKU. Ada tuduh saya ambil kesempatan dengan keadaan saya ini untuk kepentingan sendiri," katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Dia yang meminta diberi lesen sementara supaya boleh terus mencari rezeki di Jalan Green Hall mendakwa sudah beberapa kali membuat permohonan dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) namun gagal.

"Saya usaha sendiri berniaga malah saya yang masak semua lauk ini. Syukur, saya masih boleh menguruskan diri sendiri walaupun dalam keadaan seperti ini.

Noorzlina menunjukkan kompaun yang dikenakan ke atasnya kerana berniaga tanpa lesen.
Noorzlina menunjukkan kompaun yang dikenakan ke atasnya kerana berniaga tanpa lesen.

"Setiap kali saya memohon lesen sementara, saya diberi alasan MBPP sudah tidak mengeluarkan lesen sementara untuk peniaga," katanya.

Noorzlina yang tinggal di Flat Uda, Tanjung Tokong berkata, dia menjual nasi lemak dan ayam goreng di kawasan sebuah kolej dan pejabat itu bersama Elias Othman, 52, sejak tiga tahun lalu dengan.

"Saya berniaga di sini sejak tiga tahun lalu, bermula jam 9 pagi hingga tengah hari setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad. Tengah hari adik saya pula berniaga di sini, dia jual nasi berlauk.

"Selama ini saya dikenakan notis berhenti berniaga tetapi tahun ini saya dikenakan enam kali kompaun. Bulan ini saja, tiga kali saya kena (kompaun) dan setiap satu saya perlu membayar RM25.

"Yang saya hairan, mengapa peniaga lain tidak dikenakan tindakan sedangkan saya berniaga di sini tidak menghalang lalu lintas atau mengganggu orang ramai," katanya.

Menurutnya, kali pertama gerai yang menjadi punca rezekinya dan suami dirampas PBT adalah pada Februari lalu, dua kali pada Jun dan tiga lagi pada bulan ini.

Noorzlina meraih pendapatan antara RM700 hingga RM1,000 dengan menjual nasi lemak dan ayam goreng di Jalan Green Hall.
Noorzlina meraih pendapatan antara RM700 hingga RM1,000 dengan menjual nasi lemak dan ayam goreng di Jalan Green Hall.

"Bayangkan saya kena tuntut semula dengan buat pembayaran. Sekali tuntutan, saya perlu bayar antara RM300 hingga RM400. Sekali, mungkin saya boleh tahan tetapi kalau banyak kali, jenuh juga nak cari duit.

"Pendapatan kami tidak menentu antara RM700 hingga RM1,000 sebulan bergantung kepada jualan. Jika barangan niaga saya dirampas mana mana saya nak cari rezeki," katanya.

Noorzlina berkata, laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah dilakukan berhubung perkara itu selepas insiden tersebut.

Dalam pada itu, Sinar Harian sedang berusaha untuk mendapatkan respons dari MBPP dan setakat ini tiada sebarang maklum balas dari pihak berkuasa tempatan tersebut.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video membabitkan insiden barang perniagaan dirampas MBPP dan kelihatan Noorzlina sedang bertengkar dengan beberapa anggota penguat kuasa.

Video berdurasi 4 minit 55 saat dan tular mulai 26 Ogos lalu itu mendapat pelbagai reaksi orang ramai termasuk mengecam tindakan MBPP terhadap peniaga OKU.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus