Dimensi baharu sukan memanah

Azizi ketika di kejohanan memanah di Indonesia.
Azizi ketika di kejohanan memanah di Indonesia.
A
A
A

MEMANAH dan berkuda sering kali dikaitkan dengan sukan sunah Rasulullah SAW yang mana sukan ini banyak melatih stamina untuk fokus minda dan penglihatan di samping mengawal pergerakan ketika berkuda.

Kelantan memang terkenal dengan aktiviti berkuda namun memanah masih agak baharu dan terhad di sini.

Namun itu bukan halangan bagi masyarakat Kelantan kerana terdapat sebuah kelab yang menggerakkan aktiviti memanah ini iaitu Kelab Memanah Kelantan yang ditubuhkan sejak 2013.

Kelab itu ditubuhkan sebagai medium sukan alternatif dan menyampaikan input yang betul berkenaan memanah kepada masyarakat.

Presiden Kelab Memanah Kelantan, Azizi Che Hamid berkata, idea penubuhan kelab itu bermula bagi membawa panahan tradisional dan panahan berkuda ke tahap tertinggi, di samping menjaga kebajikan ahli pemanah.

Bukan mudah kuasai sukan memanah

Azizi berkata, memanah ini adalah wadah baharu selain sukan lain dan sudah ada satu petanda untuk masyarakat mula berjinak-jinak dengan memanah.

Azizi bersama isterinya yang banyak memberi sokongan.
Azizi bersama isterinya yang banyak memberi sokongan.

“Memanah tradisional ini ada beberapa kategori iaitu 'recurve', 'compound', 'bebowl' dan 'horseback archery' (memanah dan berkuda).

Artikel Berkaitan:

“Kuda memang sinonim dengan Kelantan kerana banyak kuda dipelihara di Kelantan antaranya kuda arab dan kacukan Kelantan dan potensinya sangat tinggi. Tinggal untuk latih kuda dan pemanah sahaja, kalau kita tak rebut peluang ini amat sayang sekali.

“Nak kuasai memanah pun bukan mudah tetapi kalau dah mula, ia akan lebih mudah. Untuk dapatkan platform, ia cabaran amat besar dan kami bergerak sendiri melalui kelab, wujudkan bengkel memanah dan bengkel menunggang kuda dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya kepada Sinar Harian pada sesi Sinar Live baru-baru ini.

Katanya, sukan tersebut memerlukan disiplin tinggi yang perlu digilap untuk dibawa ke pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa

Kos permulaan RM1,000

Azizi yang juga seorang peguam berkata, kos untuk sebuah busur bagi permulaan ialah kurang daripada RM1,000, manakala anak panah pula terdiri daripada kayu, buluh atau karbon.

Azizi sedia untuk beraksi.
Azizi sedia untuk beraksi.

Bapa kepada empat cahaya mata ini berkata, peserta lazimnya boleh menyertai kejohanan di Padang Merbuk, Taiping, Perak, seawal usia 5 tahun.

Katanya, pada usia itu kanak-kanak sudah faham berkaitan keselamatan, benda tajam dan tidak boleh dihalakan ke arah orang lain.

“Anak saya juga mula belajar memanah pada usia 5 tahun dan isteri saya Farizan Abdullah juga minat memanah dan pernah dapat tempat kedua dalam kejohanan di Terengganu.

“Ketika itu, isteri baharu sahaja beberapa bulan lepas bersalin dan masih menyusukan anak. Isteri masuk memanah sekejap lepas tu keluar susukan anak. Saya tak percaya dia boleh dapat tempat kedua dalam kejohanan itu dengan latihan sebulan sahaja.

"Namun, saya bernasib baik kerana isteri dan anak-anak cukup memahami dan turut meminati memanah ini,” jelasnya.

Mengulas mengenai perancangan masa depan kelab, Azizi berkata, pihaknya berhajat untuk menghantar ahli-ahli untuk menyertai pertandingan ke peringkat antarabangsa dan dalam masa yang sama cuba untuk dapatkan pengiktirafan tertinggi dalam memanah berkuda.