Tabung untuk Irfan lancar bulan ini

Che Zakaria (dua dari kanan) ditemani Guru Besar SK Bukit Dahlia, Mohd Isnin Kassim (kiri) dan Penolong Pegawai PPD Pasir Gudang Pengurusan Sekolah, Mohd Jefferin Saat (kanan) bertanya sesuatu kepada Irfan.
Che Zakaria (dua dari kanan) ditemani Guru Besar SK Bukit Dahlia, Mohd Isnin Kassim (kiri) dan Penolong Pegawai PPD Pasir Gudang Pengurusan Sekolah, Mohd Jefferin Saat (kanan) bertanya sesuatu kepada Irfan.
A
A
A

PASIR GUDANG - Tabung untuk membantu rawatan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Dahlia, Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang menghidap Myokimia sejak Mac lalu akan dilancarkan bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, kutipan tabung itu akan dilancarkan dalam acara hi-tea dengan penjualan meja kepada penderma.

"Kita baharu bincang dengan Guru Besar SK Bukit Dahlia (Mohd Isnin Kassim) minta pihaknya tetapkan satu tarikh bagi merasmikan kutipan tabung untuk Irfan.

"Kita rancang untuk mengadakan acara hi-tea dengan membeli meja dan hasil kutipan dimasukkan ke tabung untuk perubatan adik Irfan.

"Kalau boleh selepas UPSR ini dapat dijalankan segera," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas beliau melawat 188 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) SK Bukit Dahlia hari ini.

Menurutnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berhubung perkara itu.

"Saya akan berjumpa Pengarah JAS yang baharu supaya pihak kilang turut memberi sedikit sumbangan dalam tabung ini," katanya.

Julai lalu, Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan mengumumkan hasrat melancarkan tabung tersebut bagi membantu proses pemulihan murid tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Che Zakaria turut menaja sarapan bagi kesemua calon UPSR di tiga buah sekolah rendah di kawasannya sepanjang tempoh ujian bagi memastikan mereka memperoleh menu yang sihat.

Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra dengan murid sebelum mengiringi calon UPSR ke bilik peperiksaan.

Beliau juga sempat berborak dan bertanya khabar kepada Irfan yang sedang menanti giliran memasuki bilik peperiksaan bersama rakan-rakannya yang lain.