MTUC kesal PM tolak cadangan had umur bersara

Solomon
Solomon
A
A
A

PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak bersetuju dengan penjelasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pelaksanaan had umur bersara bakal menyekat peluang pekerjaan generasi muda sehingga menyebabkan limpahan tenaga kerja.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, pemikiran itu mengelirukan kerana ramai pekerja yang lebih tua mempunyai pengalaman yang luas dan bekerja keras walaupun mereka sudah tua.

Menurutnya, dia akui ada segelintirnya bersifat malas namun sifat itu juga ada dalam kalangan generasi muda.

"Malas adalah satu sikap dan melangkaui (faktor) umur. Kami kecewa dengan penolakan Dr Mahathir melanjutkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun," katanya dalam satu kenyataan.

Solomon berkata, Dr Mahathir menolak cadangan itu tanpa sebarang kajian dan sebelum mendengar pandangan pekerja.

"Kami kesal beliau memilih untuk menolaknya mentah-mentah tanpa menawarkan sebarang cadangan lain untuk menangani masalah yang berkaitan seperti gaji minimum dan tidak mencukupi, peningkatan kos sara hidup dan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang rendah," katanya.

Solomon turut menolak kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa melanjutkan had usia bersara kepada 65 tahun akan menyekat peluang pekerjaan generasi muda.

Katanya, kenyataan Syed Saddiq tidak masuk akal kerana kebanyakan rakyat Malaysia tidak bekerja kerana gaji yang ditawarkan dalam sektor swasta rendah dan bukannya kerana peluang pekerjaan sedikit.

Artikel Berkaitan: