X

Kindly register in order to view this article
!

'Banjir serupa bukit runtuh'

Banjir dari Gunung Inas masuk ke kawasan penduduk.
A
A

BALING - Kampung Sineyek terus dilanda banjir lumpur dan pasir dari Gunung Inas yang didakwa berpunca daripada projek tanaman musang king.

Wakil penduduk, Mohd Sidek Saad, 61, berkata, kejadian banjir kali keempat dan terbaru itu berlaku pada jam 1 tengah hari ketika hujan lebat semalam.

Menurutnya, arus air dari kawasan projek atas Gunung Inas itu menjejaskan sembilan lot tanah bergeran yang diusahakan penduduk dengan aktiviti pertanian dan ternakan.

"Arus air dari kawasan bukit cukup kuat dan deras. Bagi kami banjir kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini. Banjir serupa bukit runtuh.

"Buat kali pertama, banjir melimpah masuk dalam kawasan sebuah rumah penduduk. Tebing (benteng) banjir juga runtuh dalam sekelip mata. Kali ini paling teruk," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohd Sidek menunjukkan kesan paras air banjir di rumah penduduk.
Mohd Sidek menunjukkan kesan paras air banjir di rumah penduduk.

Mohd Sidek berkata, pembetung parit yang kecil turut menyebabkan air melimpah atas jalan kampung hingga memutuskan laluan utama penduduk.

Dakwanya, sebelum ini pihak berkenaan berjanji untuk menukar kepada pembetung yang lebih besar namun sehingga kini tiada tindakan.

"Hingga hari ini pembetung tak ditukar, jalan rosak yang dikatakan akan diperbaiki juga masih dalam keadaan sama.

"Akibat jalan rosak, seorang penduduk patah bahu ketika melalui jalan berkenaan baru-baru ini," katanya.

Abd Nasir (kanan) dan Mansor (dua dari kanan) meninjau kawasan terjejas banjir.
Abd Nasir (kanan) dan Mansor (dua dari kanan) meninjau kawasan terjejas banjir.

Sehubungan itu, dia mendesak pengusaha musang king di kawasan terbabit supaya segera menukar pembetung dan membina gabion (batu-batu disusun di dalam raga) bagi mengelakkan implikasi lebih buruk kepada penduduk.

"Pihak musang king hanya mengorek pasir, tambun tepi tebing dan tak pasang batu raga. Bila banjir tebing pun runtuh dan pasir ditimbun masuk semula dalam parit.

"Paras parit dah nak sama dengan rumah penduduk. Jika tak atasi, lebih banyak rumah akan kena banjir. Ada 65 rumah penduduk dalam kampung ini. Kediaman yang berhampiran parit ada lapan buah," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir berkata, pihak syarikat dituntut mendalamkan parit dan membina batu raga kerana ia dilihat jalan penyelesaian terbaik bagi masalah itu.

Pokok pinang penduduk tumbang akibat banjir tersebut.
Pokok pinang penduduk tumbang akibat banjir tersebut.

Terdahulu, Abd Nasir bersama Pengarah Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar Negeri Kedah merangkap ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria serta Persatuan Pencinta Alam Baling meninjau kawasan yang terjejas banjir.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf