Malang penyamun terserempak polis

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Nasib tidak menyebelahi dua penjenayah apabila dicekup selepas menyamun seorang pekerja buruh pembinaan dalam kejadian di Jalan 2/32, Seksyen 2 di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang sedang berjalan kaki tiba-tiba didatangi dua lelaki bermotosikal.

"Suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 telah menyamun telefon bimbit mangsa jenis Samsung Galaxy J4.

"Peronda polis (MPV) yang sedang melakukan rondaan telah terserempak dengan suspek dan berjaya membuat tangkapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tangkapan membabitkan dua lelaki berusia 18 dan 21 tahun.

Katanya, semakan lanjut mendapati salah seorang suspek mempunyai tiga rekod kes lampau bersabit kes ketum, pecah rumah dan samun.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: