X

Kindly register in order to view this article
!

Muhyiddin sedia pertimbang rayuan

Muhyiddin Yassin
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia menimbang status pembatalan Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor, dengan syarat mematuhi Akta Pertubuhan 1966.

Menurutnya, persatuan bernaung di bawah Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) itu telah ditubuhkan sejak 1955.

"Mereka mohon saya pertimbangkan status dan saya telah dengar kes yang dibentangkan oleh persatuan dan mendapati kes itu bukan kes terpencil tetapi biasa.

"Terdapat pertubuhan lain sebelum ini turut dibatalkan, merayu kepada menteri," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau telah menerima rayuan berkenaan dan menyerahkan kepada pihak pendaftaran untuk meneliti kes tersebut.

Katanya, pendaftar pertubuhan boleh memanggil wakil persatuan untuk mendapatkan penjelasan atau melihat dari sudut perlembagaan sekiranya terdapat perkara yang perlu dipinda dengan akta pertubuhan dan nasihat itu akan diberikan.

Pada masa sama, beliau meminta persatuan memberi maklum balas dalam kadar segera sebelum dipertimbangkan.

"Bagi saya, itu bukan satu perkara luar biasa. Terdapat kes-kes lain pun kita pertimbangkan, yang penting mereka perlu mematuhi kehendak pendaftar pertubuhan," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, pertemuan itu bagi membincangkan isu berkaitan pembatalan pendaftaran Dong Zong Johor oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Januari lalu, Dong Zong Johor menerima surat tunjuk sebab daripada RoS Johor kerana perlembagaan mereka bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 kerana terdapat penglibatan guru-guru.

Kemudian, pada 20 Ogos lalu, persatuan itu menerima surat pembatalan bertarikh 8 Ogos daripada Pengarah RoS Johor dengan alasan tidak menerima sebarang penjelasan mengenai pindaan perlembagaan persatuan berkaitan penglibatan guru.

Dong Zong Pusat kemudian mengemukakan surat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung pembatalan pendaftaran Dong Zong Johor dan berhasrat untuk bertemu Muhyiddin.