Kualiti air Kedah antara tiga terbaik

A
A

ALOR SETAR - Kualiti air terawat di Kedah antara tiga negeri terbaik dalam negara, sehingga boleh diminum begitu saja.

Jaminan itu diberikan Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga, Zamri Yusuf yang mengesahkan kualiti mutu air minum di Kedah menepati lima indikator yang ditetapkan.

Menurutnya, Kedah antara tiga negeri paling kurang atau tiada pelanggaran bagi parameter jaminan kualiti air minum yang ditetapkan.

“Jawatankuasa Teknikal Kualiti Mutu Air Minum bersidang pada 29 Oktober lalu, yang memantau kualiti bekalan air menerusi ujian pensampelan dari setempat ke setempat, bermula dari pengeluaran hingga saluran ke rumah,” katanya.

Zamri berkata, Kedah berjaya menepati lima indikator iaitu baki klorin mesti kurang daripada 1.85 peratus, E Coli kurang daripada 0.15 peratus, baki kombinasi klorin dan E Coli kurang daripada 0.05 peratus, kekeruhan kurang daripada dua peratus serta aluminium kurang daripada 10.2 peratus.

“Kualiti Mutu Air Minum (KMAM) dikawal dan diselia melalui 392 stesen sampel di seluruh negeri termasuk 40 di Langkawi meliputi 32 saluran air mentah rangkaian air terawat. Selain memantau 15 bekalan air ladang yang membekalkan air kepada pekerja dan penghuni kuarters ladang,” katanya.

Menurutnya, pasukan pemantau jaminan kualiti ini menjalankan 9940 ujian sampel sepanjang tahun, untuk memastikan kualiti air berada di paras terbaik.

“Untuk pastikan kualiti air dapat dikekalkan pada 2019, saya sudah arahkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) tambah 20 pusat pensampelan tahun depan agar ujian lebih menyeluruh, ini menyumbang kepada tambahan 480 ujian ke atas kualiti air minum,” katanya.

Zamri berkata, pihaknya akan memberi tumpuan meningkatkan kualiti air sekitar Pendang dan Baling memandangkan bacaan parameter di kawasan berkenaan kurang memuaskan.

“Air yang kita bekalkan menerusi paip boleh diminum terus, cuma yang membimbangkan adalah keadaan paip yang sebahagian melebihi usia tujuh hingga 20 tahun,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia