Najib arah jumpa Khaldoon untuk elak dibawa ke mahkamah antarabangsa

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir bagi perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir bagi perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan bahawa bekas majikannya mengarahkannya berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khaldoon Mubarak bagi kerja sulit untuk membincangkan hutang bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijamin International Petroleum Investment Company (IPIC) tanpa perlu di bawa ke Mahkamah Antarabangsa.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata Najib memaklumkan perkara itu kepadanya ketika beliau pergi ke kediaman bekas perdana menteri berkenaan pada 2016.

"Pada tahun 2016, saya tidak ingat bulan berapa, saya telah dipanggil oleh Datuk Seri Najib ke rumahnya di Jalan Langgak Duta pada sebelah malam. Setiba di situ, saya telah berjumpa Datuk Seri Najib di sofa di ruang tamu dan beliau telah mengarahkan saya untuk berjumpa Khaldoon sebagai pemudahcara supaya Kerajaan Malaysia dan Abu Dhabi tidak membawa isu pembayaran IPIC ke Mahkamah Antarabangsa.

"Ini kerana dalam masa terdekat pihak Abu Dhabi mahu membawa isu 'Binding Term Sheet' (BTS) antara IPIC dan 1MDB ke Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa," katanya ketika membaca penyataan saksinya pada hari keempat perbicaraan kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata Najib turut menerangkan kepadanya bahawa jika Malaysia ke Mahkamah Antarabangsa kerana gagal membayar hutang bon yang dijamin IPIC, ia akan mengeruhkan hubungan dua hala kedua-dua negara dan mempunyai risiko politik kepada pilihanraya akan datang kerana pada masa tersebut cerita dana 1MDB masih lagi tidak lenyap-lenyap dan diperkatakan di seluruh dunia.

"Datuk Seri Najib berkata saya perlu pergi untuk mengesahkan dengan pihak Abu Dhabi bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk menyelesaikan masalah ini tanpa ke Mahkamah Antarabangsa. Ini merupakan salah satu gerak kerja sulit oleh Datuk Seri Najib kepada saya oleh kerana pada masa itu isu hutang 1MDB terhadap IPIC sedang hangat diperkatakan," katanya ketika pemeriksaan utama oleh

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Amhari Efendi berkata 'Settlement Agreement' merupakan perjanjian antara kedua-dua negara berikutan timbang tara antarabangsa yang dijangka akan berlaku dalam masa terdekat tidak terjadi manakala 'Binding Term Sheet' (BTS) merupakan satu perjanjian yang telah wujud sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya tahu bahawa BTS ini telah ditandatangani sebelum itu lagi. Apabila perjanjian BTS ini gagal dipatuhi, maka pihak IPIC ingin membawa isu ini ke Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa. Oleh sebab itu, Jho Low telah merancang satu lagi perjanjian iaitu 'Settlement Agreement' bagi mengelak Kerajaan Malaysia disaman ke Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa," katanya.

Saksi penting pendakwaan itu berkata beliau telah mendapat mesej Blackberry daripada Jho Low yang memaklumkan bahawa beliau perlu ke Abu Dhabi untuk berjumpa Khaldoon dan Khaldoon menjangkakan seseorang dari Malaysia akan menghubunginya.

"Jho Low kata bahawa dia akan menghantar email nota maklumat perjumpaan saya dengan Khaldoon dalam masa terdekat. Saya telah diberi alamat email Khaldoon oleh Jho Low bagi memaklumkan hajat Malaysia untuk berbincang mengenai perbicaraan Mahkamah Antarabangsa.

"Datuk Seri Najib tahu masalah tentang bayaran hutang IPIC ini dan begitu juga Jho Low. Mereka berdua terlibat secara langsung dalam memastikan saya berunding dengan Khaldoon. Sekarang ini, baru saya faham bahawa tindakan ini adalah sebagai langkah 'damage control'," katanya.

Menceritakan pertemuannya dengan Khaldoon, Amhari Efendi berkata beliau telah bertolak ke Abu Dhabi seorang diri dan berjumpa Khaldoon di pejabat Mubadala.

"Saya diterima dengan baik dan saya menggunakan apa yang saya ingat dari 'talking points' yang diberi oleh Jho Low. Khaldoon memberitahu saya bahawa sebelum ini mereka telah dijanjikan 'bermacam-macam' oleh Malaysia tetapi tidak dikotakan. Mereka mahu melihat satu perjanjian baru, jika termeteri, yang betul dan bayaran berkala kepada mereka.

"Pada ketika itu, saya tidak faham apa yang dimaksudkan dengan 'bermacam-macam janji'. Sekarang ini baru saya tahu bahawa ia kemungkinan besar merujuk kepada perjanjian BTS yang telah ditandatangani terlebih dahulu tetapi tidak dipatuhi sepenuhnya. Dalam pertemuan itu, hanya saya dan Khaldoon sahaja yang membincangkan hal ini di pejabatnya," jelas saksi itu lagi.

Menurut Amhari Efendi, hasil daripada pertemuan berkenaan, beliau dan Khaldoon bersetuju bahawa mereka akan menjadi pemudahcara bagi kedua-dua negara secara 'back channel' untuk tidak ke Mahkamah Antarabangsa sekiranya perjanjian dapat dipersetujui dan Malaysia membuat bayaran yang paling dekat (next payment).

"Ini adalah tugas khas sulit yang saya buat sendiri atas arahan Datuk Seri Najib dan Jho Low. Perbincangan perjanjian untuk keluar daripada timbang tara ini diuruskan seterusnya oleh 1MDB dengan IPIC serta peguam-peguam mereka. Saya ada terima status daripada kedua-dua belah pihak namun Jho Low akan sentiasa memberi rumusan dan cadangan penyelesaian kedua-dua belah pihak secara

keseluruhannya.

"Saya juga dihubungi Khaldoon dan peguam utama IPIC iaitu Martin Edelman yang saya panggil sebagai Marty dari semasa ke semasa untuk menjelaskan lagi kedudukan mereka.

"Perjanjian itu yang sepatutnya ditandatangani sebelum penghujung 2016 akhirnya gagal dicapai kerana kedua-dua negara tidak dapat bersetuju ke atas beberapa klausa dan pada tempoh akhir perjanjian itu perlu ditandatangani, Datuk Seri Najib telah menelefon saya beberapa beberapa kali untuk meminta saya merumuskan perbincangan terkini antara kedua-dua belah pihak," katanya.

Bagaimanapun, Amhari Efendi berkata sekitar April 2017 beliau telah menerima satu email dan juga panggilan telefon daripada Marty Edelman yang memaklumkan bahawa rundingan sedang berjalan.

"lni mengejutkan saya kerana saya beranggapan rundingan yang dijalankan sebelum ini telah gagal dan dihentikan seperti yang diberitahu oleh Khaldoon. Saya berpendapat sudah pasti ada indvidu-individu lain (saluran baru) yang membantu meneruskan rundingan ini termasuk Jho Low.

"Saya kemudiannya dihubungi oleh Arul Kanda Kandasamy yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dan diberi status terkini rundingan berkenaan. Selepas saya mengetahui mengenai rundingan itu, Jho Low telah mengarahkan saya untuk memudahcara rundingan tersebut dengan persetujuan Datuk Seri Najib. Akhirnya, IPIC dan 1MDB berjaya menandatangani perjanjian 'Settlement Agreement' pada pertengahan 2017," katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. - Bernama