MED terus perkukuh MSME tahun depan

Mohd Hatta Md Ramli
Mohd Hatta Md Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan terus memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) menerusi lebih banyak program pembangunan kemahiran, sejajar dengan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, kementerian itu berharap peruntukan lebih besar daripada kerajaan dalam Belanjawan 2020 bagi membolehkan sasaran itu tercapai sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Kami sedang mencari pendekatan baru yang bukan sahaja meningkatkan keupayaan usahawan, malah membolehkan mereka menyediakan latihan dan memberi pendedahan kepada pelajar.

"Terutama lepasan sekolah terhadap perniagaan dan industri,” katanya selepas menyampaikan ucap tama pada pelancaran Forum Perdagangan dan Ekonomi Arab-Asia Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) 2019 di sini hari ini.

Forum tiga hari yang berakhir 6 September itu diadakan sempena Muslim World Biz 2019 Kesembilan, Zon Perniagaan dan Pelaburan.

Dr Mohd Hatta berkata, kementerian itu yang mempunyai 10 agensi di bawahnya menerima peruntukan sebanyak RM489 juta pada Belanjawan 2019 iaitu paling rendah dalam kalangan kementerian.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mohd Hatta berkata, MED melaksanakan beberapa inisiatif untuk menarik pelabur antarabangsa antaranya dengan menganjurkan misi perdagangan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke negara seperti Indonesia, China dan Thailand sejajar dengan visi negara untuk menjadi negara keusahawan menjelang 2030.

Sementara itu, Pengerusi Muslim World Biz dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perniagaan Antarabangsa OIC, Muhammad Raja Talib Raja Mohamad Abdullah berkata, forum itu bertujuan memacu pembangunan jangka panjang dan pertumbuhan ekonomi dalam kalangan negara anggota OIC.

Artikel Berkaitan:

"Ia selari dengan Pelan Tindakan 10 Tahun OIC yang menyasarkan untuk meningkatkan perdagangan intra-OIC kepada 25 peratus menjelang 2025.

“Ketika ini, ia menyumbang kira-kira 16 peratus terutamanya daripada produk halal, teknologi dan pelaburan dalam infrastruktur,” katanya.

Menurutnya, program yang menumpukan kepada kerjasama antara negara-negara Arab dan Asia itu mempamerkan produk dan perkhidmatan oleh pempamer daripada 40 negara dengan jangkaan 500 padanan perniagaan terutama dalam sektor pertanian, halal, perbankan dan kosmetik. - Bernama