PGSM tubuhkan jawatankuasa baharu

Musa
Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengumumkan penubuhan dan pembentukan Jawatankuasa Bagi Menguatkuasakan Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 (Akta PGS 2019).

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, jawatankuasa itu diwujudkan berdasarkan kepada amanah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof untuk menubuhkan jawatankuasa bagi melaksanakan perkara-perkara ke arah merealisasikan penguatkuasaan Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai baru-baru ini.

"Jawatankuasa itu mempunyai seramai 20 orang Ahli Jawatankuasa Induk terdiri daripada Presiden PGSM Musa Awang sebagai Pengerusi; Pengerusi PGSM Wilayah Persekutuan, Fakhrul Azman Abu Hasan sebagai Timbalan Pengerusi; wakil Pejabat Peguam Negara; wakil Penasihat Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Pensyarah-Pensyarah Universiti dan ahi-ahli Jawatankuasa PGSM Pusat dan PGSM Wilayah Persekutuan.

"Jawatankuasa ini juga dibahagikan kepada 10 Jawatankuasa Pelaksana (kecil) yang bertanggungjawab menyediakan draf kaedah penerimaan masuk, kaedah tatacara mesyuarat badan peguam syarie, kaedah kawal selia amalan, kaedah pembukaan dan penyimpanan akaun, kaedah tanggung rugi profesional, kaedah pemeriksaan laporan akaun, kaedah prosiding tatatertib, kumpulan wang tatatertib, kaedah penetapan fi, serta penubuhan jawatankuasa penaja majlis peguam syarie Wilayah Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Musa berkata, jawatankuasa ini juga berperanan untuk mencadangkan tarikh penguatkuasaan Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 dan perkara-perkara yang perlu dilaksanakan bagi menguatkuasakan akta berkenaan berserta kerangka dan garis masa bagi pelaksanaan setiap perkara tersebut.

"Jawatankuasa ini akan menjalankan fungsinya dari semasa ke semasa sehingga Akta PGS 2019 tersebut dikuatkuasakan, serta akan melaporkan terus kepada menteri yang berkenaan mengenai perjalanan jawatankuasa dan perkembangan perkara-perkara yang perlu dilaksanakan tersebut," katanya.

Mujahid sebelum ini berkata, melalui rang undang-undang itu, bakal peguam syarie akan diwajibkan menjalani latihan dalam kamar selama enam bulan yang dianggapnya sebagai satu tempoh mencukupi bagi membiasakan diri mereka dengan perundangan substantif dan tatacara yang perlu dipatuhi dalam pengendalian satu-satu kes.

Katanya, Rang Undang-Undang ini juga akan membolehkan Majlis Peguam Negara menubuhkan unit bantuan guaman khas Mahkamah Syariah seperti mana diwujudkan di Mahkamah Sivil di samping menubuhkan lembaga tatatertib bagi mengawal selia dan menjaga kebajikan peguam syarie.

Artikel Berkaitan: