Teruskan penguasaan di Sukma Johor

No Image Caption
A
A
A

TERENGGANU yakin akan mengulangi kejayaan muncul juara Sukma Malaysia (Sukma) dengan meneruskan penguasaan pada Sukma 2020 yang akan berlangsung di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia bersandarkan sebahagian daripada atlet di bawah program 2018 iaitu seramai 483 orang, yang akan meneruskan cabaran pada Sukma di Johor nanti.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 163 orang daripadanya telah memenangi pingat pada Sukma di Perak yang lalu, dengan 76 orang daripadanya memenangi pingat emas.

“Saya mengharapkan ura-ura sukan kenu dan mendayung akan dipertandingkan di Johor nanti menjadi kenyataan. Sekiranya dipertandingkan, ia akan memberikan kelebihan kepada kita memandangkan kedua-dua sukan ini adalah sukan yang kita kuasai sebelum ini dan banyak memenangi pingat.

“Bagi menghadapi Sukma 2020 juga, kita telah memulakan latihan pada 1 November lalu dan Majlis Sukan Negeri (MSN) telah bermesyuarat jawatankuasa kerja bersama-sama dengan hampir kesemua persatuan.

“Saya juga berharap agar semua pihak terus melipatgandakan usaha dan komitmen yang jitu, khususnya dalam membentuk kontinjen negeri yang mantap bagi menjulang kecemerlangan Terengganu pada temasya Sukma akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Meraikan Atlet Angkat Berat Sukma XIX Perak 2018 dan Pertukaran Perjanjian Kerjasama Kajian Pemakanan Sukan Angkat Berat Terengganu di Dewan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), di sini.

Turut hadir, Pengarah MSN Terengganu, Ibni Amin Busu dan Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustafa yang juga Presiden Persatuan Angkat Berat Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Sukairi memuji YPKT selaku ‘Jabatan Angkat’ bagi Sukan Angkat Berat yang banyak menyumbangkan tenaga, memberi kemudahan kenderaan dan memberi insentif kepada atlet-atlet angka berat yang berjaya, sebagai suntikan semangat dan sokongan agar terus maju.

“Sukan angkat berat telah menyumbang dua emas, tiga perak, tujuh gangsa dan menduduki 'ranking' ke-11 dalam acara sukan yang menyumbangkan pingat kepada negeri sehingga berjaya menjadi juara Sukma 2018.

“Kejayaan atlet angkat berat ini adalah atas semangat bersama antara jurulatih dan atlet yang pilih oleh MSN bersama-sama dengan persatuan dan jabatan angkat.

“Justeru itu, bagi memastikan kejayaan yang dicapai pada Sukma 2018 dapat digandakan, saya berharap semua jurulatih perlu lebih dedikasi, mempelajari kemahiran-kemahiran baharu, mempunyai sistem latihan yang lebih efektif serta jadual latihan yang sistematik agar pencapaian pingat di Johor 2020 meningkat lebih banyak daripada tahun 2018,” katanya.

Sukan angkat berat dapat memperbaiki kedudukan pada Sukma 2018, dengan sasaran pingat lima emas, enam perak dan tujuh gangsa.

Atlet angkat berat, Muhammad Darul Najmi Dollah juga telah mencipta rekod baru dalam acara 69kg ‘clean and jerk’ lelaki dengan bebanan 164 kilogram, sekali gus memadamkan rekod Hafifi Mansor iaitu 163 kilogram.

Untuk rekod, Terengganu mengutip 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa, sekali gus muncul juara Sukma 2018 yang berlangsung di Perak.