Mangsa kebakaran tiada geran tanah

Chon Siang (kanan) menunjukkan salinan dokumen permohonan salah seorang penduduk yang pernah dibuat pada 2011.
Chon Siang (kanan) menunjukkan salinan dokumen permohonan salah seorang penduduk yang pernah dibuat pada 2011.
A
A
A

KUANTAN - Satu pertemuan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sedang diatur untuk membincangkan status tanah penduduk dan mangsa kebakaran di Kampung Sungai Lembing di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Menteri Besar selepas penduduk memohon bantuan beliau untuk mengadakan pertemuan tersebut.

Menurutnya, pertemuan itu bagi membincangkan status permohonan tanah tempat tinggal penduduk yang pernah dibuat pada 2011.

"Saya ada membuat kajian dan saya dapati tanah mangsa kebakaran ini tidak mempunyai geran.

"Malah pada 2012 mereka juga sudah mendapat jawapan daripada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan bahawa permohonan mereka terpaksa dibatalkan.

"Ini berikutan tanah kediaman mereka merupakan Zon Bersejarah Sungai Lembing dan kawasan warisan lombong bijih timah. Mereka dicadangkan untuk membuat permohonan tanah rizab," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di pekan Sungai Lembing di sini hari ini.

Chon Siang berkata, pihaknya akan mendapatkan informasi berkenaan status terkini tanah penduduk dan tindakan kerajaan Pahang termasuk berhubung hal pajakan.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan keluarga mangsa kebakaran di pekan Sungai Lembing di sini sepakat menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Pembinaan Pembangunan Semula bagi membina rumah mereka di tapak asal.

Artikel Berkaitan:

Pengerusinya, Yong Siew Meng, 43, berkata, jawatankuasa itu akan membawa suara mangsa untuk memohon kepada kerajaan Pahang agar pembinaan baharu rumah mereka lebih terancang dan teratur.