Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Mejar Zahir

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan atas jasa dan sumbangan Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, yang meninggal dunia ketika melakukan tugasan rasmi di Kem Lok Kawi, Sabah pagi tadi.

Baginda yang juga pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menzahirkan penghargaan itu menerusi satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara hari ini.

Dalam kenyataan sama, baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Seri Paduka baginda berdua turut menzahirkan rasa simpati dan sedih kepada keluarga Allahyarham dan juga menzahirkan harapan agar keluarga Allahyarham tabah menghadapi suasana pilu dan dugaan dari ALLAH.

“Seri Paduka baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati oleh ALLAH dan ditempatkan bersama para solihin,” titah baginda dipetik dari kenyataan itu.

Pagi tadi, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi turut menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga wira negara itu dan menyifatkan pemergiannya adalah satu kehilangan kepada Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Semoga keluarganya reda dan sabar dengan ujian ALLAH SWT dan menyifatkan Allahyarham meninggal dunia dalam tugas yang besar pahalanya (syahid).

“TDM sangat menyayangi Allahyarham, namun ALLAH lebih menyayangi beliau. TDM telah membuat segala urusan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris mangsa,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

TDM dalam satu kenyataan memaklumkan insiden melibatkan arwah berlaku sewaktu latihan demonstrasi keupayaan Tentera Darat semasa perasmian acara Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Sabah.

“Latihan demonstrasi keupayaan berkenaan telah dilaksanakan bermula pada 26 Ogos 19 yang lalu. Bagaimanapun, semasa pelaksanaan demonstrasi pada hari sebenar, telah berlaku situasi yang menyebabkan kemalangan jiwa tersebut.

“Allahyarham merupakan pegawai dari pasukan 11 Rejimen Gerakhas, Kem Sungai Udang, Melaka.

Allahyarham yang merupakan bapa kepada lima anak berusia antara sembilan tahun hingga lima bulan dan berasal dari Kuala Lumpur,” katanya.