Sukan Sea: Wan Kuzain dijangka sertai Skuad Malaysia

Kuzain ketika sesi latihan bersama pasukannya di Amerika Syarikat.
Kuzain ketika sesi latihan bersama pasukannya di Amerika Syarikat.
A
A
A

PEMAIN berdarah Malaysia yang sedang meningkat naik di Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS), Wan Kuzain Wan Kamal, 20 berkemungkinan akan menyarung jersi kebangsaan pada aksi Sukan Sea 2019, di Filipina November depan.

Desas desus mengenai pemain Sporting Kansas City yang bakal bermain di bawah Skuad B23 negara itu diakui benar Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin selepas selepas pemain itu sendiri telah menyatakan hasratnya untuk mewakili negara.

"Untuk pemain ini, beliau telah menyatakan sendiri hasratnya kepada Datuk Ong Kim Swee untuk bermain pada Sukan Sea.

"Sekarang ini kita tengah buat persediaan, kalau sempat sebelum perlawanan itu kita akan bawa beliau kembali ke negara dan bermain.

"Ini kerana beliau sekarang sedang bermain dalam MLS jadi kita kena buat persiapan memandangkan sebelum ini beliau tidak berminat untuk bermain dengan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Perasmian Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) di sini hari ini.

Hamidin berkata, persediaan yang dimaksudkan juga adalah merangkumi prosedur operasi standard (SOP) untuk membawa pemain berbakat berkenaan kembali ke tanah air.

Katanya, pihaknya juga sedang membuat perincian untuk mengenal pasti kedudukan paling sesuai menempatkan pemain itu sama ada bersama Skuad Harimau Malaya atau B23.

Artikel Berkaitan:

"Kita sekarang dalam proses semua termasuk apa SOP untuk bawa dia bermain bagi pasukan Malaysia ataupun B23, sekarang sekretariat sedang berurusan dengannya," katanya.

Ditanya sekiranya persiapan selesai dengan lebih cepat, adakah pemain berkenaan berpotensi untuk dipanggil mewakili Malaysia bagi berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Aksi Kelayakan Piala Dunia pada 10 September ini, beliau bagaimanapun menolak perkara itu.

"Jika sebelum UAE memang tidak sempat, mungkin Sukan Sea, sebab perkara ini memang ada prosesnya," katanya.

Untuk rekod, pemain berbakat berkenaan sehingga kini belum memberi kata putus sama ada mahu bersama negara kelahirannya, Amerika Syarikat ataupun Malaysia.

Wan Kuzain yang dilahirkan di Illinois telah bersaing sepanjang kariernya di posisi tengah selain pernah beraksi untuk Skuad Amerika Syarikat B17.

Tidak dinafikan, kehadiran pemain berkenaan diyakini mampu memantapkan jentera tengah skuad negara bersama pemain-pemain muda tempatan seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.