Operasi jejak pemburu haram misi selamatkan Harimau Malaya

Xavier Jayakumar
A
A

SERDANG - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjalin kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan operasi rondaan di beberapa kawasan hutan kekal di negara ini bagi menangkap pemburu haram dan menghapuskan jerat haiwan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, usaha bersepadu antara Perhilitan dan polis ini bertujuan menyelamatkan spesis haiwan terancam terutamanya populasi Harimau Malaya.

Katanya, rondaan Perhilitan dan polis ini bertumpu di Taman Negeri Royal Belum, Taman Negara Endau Rompin dan Taman Negara Kuala Tahan bagi menjejaki pemburu haram dan memusnahkan jerat.

"Kementerian menerusi Perhilitan dengan kerjasama polis telah melakukan kertas kerja bagi menggerakkan operasi rondaan di hutan kekal untuk menyelamatkan Harimau Malaya.

"Kita tumpu di tiga lokasi habitatnya iaitu Royal Belum, Endau Rompin dan Kuala Tahan. Apa yang membimbangkan ialah populasi Harimau Malaya di negara ini dijangkakan 200 ekor sahaja," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Parlimen Kuala Langat bagi pembangunan Hab Nanas di Kuala Langat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya usaha memburu pemburu haram dan memusnahkan jerat haiwan tidak dilakukan, tidak mustahil dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang Harimau Malaya akan pupus.

Xavier juga tegas akan membawa masalah ini ke sidang Parlimen Oktober akan datang bagi meminda enakmen bagi memberi lebih kuasa kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan Perhilitan untuk mengambil tindakan terhadap pemburu haram.

"Selain minta kerjasama polis untuk buat rondaan bersama Perhilitan untuk buat rondaan dan musnahkan jerat, alternatif lain ialah perkasakan pendidikan dan kesedaran kepada generasi muda.

"Kita mahu fauna dan flora yang menghuni hutan kita wujud selamanya dan hidup mapan sebab itu generasi muda perlukan pendidikan. Kerajaan juga akan tingkatkan hukuman kepada pemburu haram dan lanjutkan tempoh penjara," katanya.

Xavier memberitahu, bantuan polis diperlukan kerana mereka memiliki senjata dan berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pemburu dan aktiviti perburuan haram.

"Polis ada akta lain, polis ada senjata dan boleh ambil tindakan kepada orang yang buat salah dalam hutan.

"Langkah ini untuk pastikan dapat mengurangkan jerat haiwan dalam hutan dan pemburu haram.

"Rondaan Perhilitan bersama polis sudah mula (kelmarin) melibatkan 2,000 kekuatan anggota dan lebih bertumpu di Royal Belum," jelasnya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mencadangkan hukuman lebih berat termasuk sebat mandatori dikenakan terhadap penjenayah yang terbabit dalam kegiatan pemburuan haram dan menyeludup haiwan liar.

Katanya, cadangan itu yang akan dibawa kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang adalah inisiatif PDRM membanteras pemburuan haram dan penyeludupan haiwan liar di negara ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia