Sindiket seludup rokok, cecair alkohol tumpas

Rokok kontraban dan cecair alkohol yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
Rokok kontraban dan cecair alkohol yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sindiket yang dipercayai aktif menyeludup rokok kontraban dan memproses arak tiruan tumpas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Laman Setia semalam.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2), Superintendan Noor Azman Jamal berkata, dalam serbuan itu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan.

Menurutnya, sebanyak 10,740 paket rokok pelbagai jenis tidak bercukai serta 840 liter cecair dipercayai untuk dijadikan arak tiruan ditemui dalam sebuah bilik di tingkat dua rumah berkenaan.

"Nilai rampasan rokok seludup dianggarkan RM137,961 manakala cecair alkohol pula bernilai RM167,748.

Katanya, polis juga percaya cecair alkohol yang ditemui sedang diproses untuk dijadikan minuman keras tiruan.

“Kita turut menemui penutup botol yang mempunyai pelekat Kastam tiruan. Polis juga merampas empat kenderaan membabitkan Toyota Harrier, Perodua Alza, Toyota Estima serta Toyota Hiace.

"Kes disiasat mengikut Sesyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel Berkaitan: