13 negara sertai Perlumbaan Perahu Naga Sarawak

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Sebanyak 47 pasukan dari 13 negara akan menyertai Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak tahun ini sempena Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2019 di Tebingan Kuching, di sini, dari 25 Oktober hingga 3 November ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata festival selama dua minggu itu akan menampilkan Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak pada 26 hingga 27 Oktober, diikuti perlumbaan perahu Sarawak Regatta dari 1 hingga 3 November.

"Terdapat 13 negara akan menyertai Perlumbaan Naga Antarabangsa Sarawak tahun ini berbanding hanya lapan negara yang menyertainya tahun lepas iaitu pertambahan sebanyak lima negara," katanya pada sidang media Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2019 di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menerima ‘mock cheque’ berjumlah RM500,000 daripada Petronas, RM100,000 (Petra Energy Berhad), RM30,000 (JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited) dan RM30,000 daripada Ta Ann Holdings Berhad yang menaja festival berkenaan tahun ini.

Selain Malaysia, negara lain yang terlibat ialah Indonesia, Singapura, China, Brunei, Thailand, Australia, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Taiwan, Myanmar, Filipina dan Hong Kong.

"Amerika Syarikat adalah antara negara kali pertama menyertai perlumbaan perahu naga itu dan akan menghantar seramai 65 pendayung dengan 40 pendayung lelaki dan 25 pendayung wanita," katanya.

Katanya selain Sarawak yang menghantar sembilan pasukan, tiga negeri lain iaitu Sabah, Pulau Pinang serta Kuala Lumpur turut menghantar penyertaan pada perlumbaan itu.

Sebanyak lima kategori akan dipertandingkan dalam perlumbaan perahu naga iaitu terbuka perdana antarabangsa membabitkan 20 kru, terbuka perdana antarabangsa (12 kru), wanita perdana antarabangsa (12 kru) perdana antarabangsa campuran (12 kru) dan master antarabangsa (12 kru).

Artikel Berkaitan:

Abdul Karim berkata perlumbaan perahu Sarawak Regatta 2019 akan mengadakan 36 acara saringan dan akhir bagi 13 kategori membabitkan perahu balok, perahu bidar dan perahu kenyalang serta bakal disertai pasukan lumba perahu dari seluruh negeri ini bagi merebut Piala Raja Sungai.

"Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka melancarkan Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa dan Sarawak Regatta pada 26 Oktober manakala Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud akan merasmikan majlis penutup pada 3 November," katanya.

Borang penyertaan perlumbaan perahu Sarawak Regatta boleh mula didapati di Pejabat Lembaga Sungai-Sungai Sarawak di Bangunan Electra House mulai 18 September depan dan tarikh tutup penyertaan pada 10 Oktober.

Karim berkata pihaknya menyasarkan 50,000 orang akan mengunjungi festival itu yang turut diadakan acara sampingan seperti Festival Gendang Melayu Sarawak, jualan makanan dan kraftangan, Sarawak Kitchen, konsert Sound Of Borneo dan Waterfront Idol serta mencatatkan jualan kraftangan mencecah RM900,000. - Bernama