Skim lantikan kontrak ditambahbaik ganti skim latihan tetap, berpencen

Datuk Seri Borhan Dolah
Datuk Seri Borhan Dolah
A
A
A

PUTRAJAYA - Mulai tahun depan (2020), lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat dibawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambahbaik, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah.

Beliau berkata, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam 2019 di sini hari ini, Borhan berkata skim lantikan kontrak baharu itu, yang kini sedang diperhalusi, akan menawarkan gaji yang lebih menarik serta kebajikan, perlindungan dan jaminan yang lebih baik.

"Lantikan kontrak mungkin tidak menikmati kelebihan macam skim lantikan tetap dan berpencen sekarang seperti pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan namun faedah tersebut mungkin diterjemah dalam bentuk elaun lebih tinggi,” katanya.

Borhan berkata, lantikan kontrak yang akan diperkenalkan lebih dinamik dan bersesuaian dengan generasi Y yang tidak begitu 'setia' dan memberi mereka opsyen untuk keluar daripada perkhidmatan awam dengan mudah selepas berkhidmat untuk tempoh tertentu.

Beliau menegaskan bahawa skim lantikan kontrak baharu itu juga tertakluk dibawah Akta Perkhidmatan Awam yang melindungi kepentingan penjawat awam, tidak kira berstatus tetap atau kontrak, bagi memastikan perkhidmatan mereka tidak ditamatkan dengan mudah jika tidak terbukti bersalah.

"Jadi tidak bolehlah seseorang itu dilantik secara kontrak hari ini dan esok dengan mudah perkhidmatannya boleh ditamatkan,” katanya.

Beliau berkata penjawat awam sedia ada mungkin diberi opsyen untuk beralih ke skim lantikan kontrak baharu itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Borhan, lantikan dalam perkhidmatan awam secara tidak tetap dan berpencen sebenarnya sudah wujud cuma tidak berskala besar, contohnya dalam perkhidmatan tentera terdapat lantikan jangka pendek yang tidak berpencen.

Borhan berkata penjimatan yang disasarkan berdasarkan skim lantikan kontrak untuk perkhidmatan awam itu ialah sebanyak RM5 bilion setahun.

Beliau berkata, JPA akan membentangkan cadangan pakej skim perkhidmatan kontrak perkhidmatan awam dimana keputusan akan dibuat berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan.

Mengenai pengecilan saiz perkhidmatan awam, Borhan berkata kerajaan menetapkan pengurangan lima peratus untuk tempoh tiga tahun iaitu satu peratus tahun ini, dua peratus tahun depan dan dua peratus pada 2021.

"Bagi mengatasi pengecilan itu antara pendekatan yang akan diambil ialah penyumberan luar perkhidmatan, sistem kerajaan digital dan mana-mana jawatan yang kosong lebih dua tahun yang dilihat tidak ada keperluan untuk diisi maka jawatan itu akan dimansuhkan. Di situ akan berlaku pengecilan yang dimaksudkan," katanya.- Bernama