Aksi Harimau Malaya disiar secara langsung RTM, Astro

No Image Caption
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan siaran televisyen berbayar Astro sebagai pemegang hak penyiaran bersama bagi kesemua empat perlawanan skuad kebangsaan di gelanggang sendiri untuk kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan G akan mengharungi lapan perlawanan keseluruhan bermula dengan aksi sulung bertemu Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta esok dan diakhiri dengan berdepan Thailand di Bangkok pada 9 Jun tahun depan.

Sepanjang tempoh sembilan bulan itu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe akan beraksi empat kali di Stadium Nasional, Bukit Jalil bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 10 September ini, Thailand (14 November), Indonesia (19 November) dan Vietnam pada 31 Mac 2020.

Keempat-empat perlawanan di gelanggang sendiri itu akan disiarkan secara langsung di RTM menerusi saluran TV1 dan RTM HD Sports serta di Astro menerusi saluran Astro Arena 801 & 802 HD.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan media hari ini berkata, pemilihan RTM dan Astro adalah untuk memastikan aksi skuad kebangsaan dapat ditonton semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada.

"Siaran langsung perlawanan skuad Harimau Malaya ini boleh ditonton di saluran televisyen percuma (RTM) atau di saluran berbayar (Astro). Tiada sebab untuk mereka tidak dapat menonton siaran langsung.

"Jadi besarlah harapan saya supaya semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan lapisan masyarakat bersama-sama memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya kita demi memastikan keputusan positif dapat dicapai," katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berharap RTM yang berperanan selaku penyiar rasmi pusingan kelayakan ini dapat menggembirakan seluruh rakyat Malaysia terutama yang tidak melanggan saluran televisyen berbayar.

Artikel Berkaitan:

"Selama ini kita sering mendengar permintaan peminat dan penyokong bola sepak Malaysia yang mahukan RTM turut menyiarkan siaran langsung perlawanan membabitkan skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

"Dengan kerjasama bersama FAM kali ini, saya cukup bangga kerana apa yang diminta rakyat Malaysia itu direalisasikan. Bola sepak adalah untuk semua dan saya berharap seluruh rakyat Malaysia dapat sama-sama menonton perlawanan secara langsung itu nanti," katanya dalam kenyataan yang sama.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay turut menyatakan komitmen berterusan Astro kepada bola sepak Malaysia terutama skuad kebangsaan, Harimau Malaya dengan siaran langsung perlawanan serta penerbitan program berkaitan yang diharap dapat menaikkan semangat para peminat, penyokong dan pemain sendiri.

"Sudah tentu Astro gembira kerana sekali lagi diberi hak penyiaran untuk kempen kelayakan kali ini. Kami akan pastikan semangat dan cabaran skuad Harimau Malaya dalam Kumpulan G ini bukan sahaja disaksikan secara langsung tetapi penerbitan program yang bakal menyediakan nilai tambah bagi memperkukuhkan lagi sokongan peminat kepada pasukan negara," katanya. - Bernama