Kes kebakaran rumah panjang di Sarawak meningkat

No Image Caption
A
A
A

SARIKEI- Satu lagi kebakaran rumah panjang dilaporkan di negeri ini malam tadi menjadikan angka kebakaran membabitkan rumah jenis itu dari awal tahun hingga kini adalah sebanyak 14 buah.

Kebakaran terbaharu itu melibatkan rumah panjang Andrew Anak Lawai, di Jagoi, Pakan yang mengakibatkan 20 penghuninya hilang tempat tinggal.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin, satu pasukan telah digerakkan ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kebakaran pada 9.50 malam sambil dibantu sepasukan bomba dari Balai Sarikei.

“Kesemua penghuni termasuk dua kanak-kanak bergegas menyelamatkan diri masing-masing sebaik sahaja menyedari api sedang marak. Tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.

“Apabila tiba di lokasi didapati rumah panjang setingkat jenis separuh kekal sepanjang tujuh pintu itu telah ranap dijilat api. Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur bilik nombor lima,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa kini ditempatkan sementara di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Meradong dan Julau di Pakan.

Katanya, jentera bomba terpaksa berulang-alik ke pili bomba sejauh 500 meter kerana tiada pili bomba atau sumber air terbuka berdekatan dengan rumah panjang itu.

Kebakaran dapat dikawal pada 9.30 malam dan operasi keseluruhannya ditamatkan pada 11.55 malam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata daripada 14 kes kebakaran rumah panjang yang dilaporkan, 12 kes telah dikenal pasti puncanya iaitu lapan kes berpunca daripada aktiviti memasak manakala empat kes kerana litar pintas atau terlebih bebanan (overload).

Seramai 1,300 penghuni pula telah hilang tempat tinggal dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM10,116,500 manakala jumlah harta benda yang berjaya diselamatkan sebanyak RM12,993,500.

Sebanyak 12 kes kebakaran rumah panjang yang terbakar adalah berada dalam lingkungan 30km hingga 187km manakala dua kes kurang 15km daripada kedudukan balai bomba yang terdekat.

Bagi tempoh tersebut satu kematian dicatatkan melibatkan wanita kurang upaya berusia 43 tahun manakala kecederaan yang direkodkan adalah empat orang. - Bernama