X

Kindly register in order to view this article
!

Paip perlu beri penjelasan: Tengku Zulpuri

Tengku Zulpuri (tengah) diiringi ADUN Teruntum, Sim Chon Siang ketika membuat tinjauan pili bomba yang terletak di kawasan kebakaran.
A
A

KUANTAN - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan mendapatkan penjelasan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) berhubung aduan penduduk mengenai bekalan air dan pili bomba yang ditutup pada waktu malam di Kampung Sungai Lembing di sini.

Timbalan menterinya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, pihaknya akan mengemukakan surat kepada Paip kerana penutupan bekalan air tidak sepatutnya berlaku memandangkan kejadian kebakaran boleh berlaku tanpa mengira waktu.

"Ini kerana menurut prosedur, air pada pili bomba mesti boleh beroperasi 24 jam, tidak boleh disekat. Kalau untuk pengguna mungkin ada alasan yang lain tapi untuk pili bomba, kena ada air.

"Keduanya mesti ada satu sebab yang munasabah daripada Paip sendiri dan jika pihak bomba tahu, mereka juga mesti ada alternatif lain untuk persediaan kalau berlaku perkara tak diingini di kawasan seperti ini.

"Ini adalah pengajaran bagi kita dan saya harap ia tidak berulang. Pili bomba mesti ada air 24 jam sebab kita tidak tahu bila kemalangan akan berlaku," katanya.

Tengku Zulpuri (tengah) meninjau kawasan kebakaran.
Tengku Zulpuri (tengah) meninjau kawasan kebakaran.

Beliau berkata demikian ketika menjalankan lawatan kerja rasmi ke lokasi kebakaran dan menyantuni mangsa-mangsa di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Lembing di sini hari ini.

Tengku Zulpuri turut meluangkan masa selama sejam duduk bersama-sama mangsa kebakaran di dewan tersebut untuk mendengar sendiri keluhan dan masalah secara dekat.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi pada 31 Ogos lalu, sebanyak 33 premis bangunan termasuk perpustakaan di Kampung Sungai Lembing di sini musnah dalam kebakaran yang turut mengorbankan sepasang suami isteri warga emas.

Bagaimanapun bomba berdepan kesukaran bekalan air terhad dan terpaksa meminta bantuan Pasukan Bomba Sukarela Sungai Lembing dan penduduk kampung mengepam air daripada sungai dan kolam berhampiran.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!