Tergamam lihat ayah kaku di tangga

Anak mangsa semasa menemui polis yang datang ke rumah di Taman Rasah Jaya tadi.
A
A

SEREMBAN - Seorang anak tergamam melihat bapanya maut di tangga rumah, pagi semalam.

Mangsa berusia 65 tahun itu, ditemui oleh anaknya yang datang ke rumahnya di Taman Rasah Jaya kira-kira jam 9.30 pagi setelah dua hari tidak kelihatan.

Menurut anaknya yang enggan dikenali, dia datang ke rumah ayahnya kerana bimbang setelah dua hari ayahnya tidak dapat dihubungi.

"Biasanya, setiap hari ayah akan datang ke rumah saya di Taman Galena, tetapi sejak dua hari lalu dia tidak datang, kami telefon tetapi tidak dijawab.

"Ayah memang tinggal seorang di rumah ini, ibu tinggal bersama saya di Taman Galena, tetapi setiap hari ayah akan datang ke rumah saya, tetapi semalam dia tidak datang jadi kami datang sini cari dia, tergamam saya nampak dia sudah mati di tangga tadi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Tambahnya, tiada sebarang unsur jenayah, dan kemungkinan ayahnya meninggal dunia disebabkan sakit yang dihidapi.

Katanya, ayahnya menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut tiada unsur jenayah, dan keadaan dalam rumah tersebut juga berada dalam keadaan baik.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.