Kes video intim: NGO rayu campur tangan Agong

Mohamad Ali (depan empat kanan) menunjukkan laporan siasatan forensik mengaitkan Mohamed Azmin di hadapan Istana Negara.
Mohamad Ali (depan empat kanan) menunjukkan laporan siasatan forensik mengaitkan Mohamed Azmin di hadapan Istana Negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya campur tangan bagi menyelesaikan isu video intim mengaitkan seorang menteri kanan.

Timbalan Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad membuat rayuan itu dan mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk pihak berkuasa negara gagal menyelesaikan skandal tersebut.

“Kita memohon kepada Agong memainkan peranan untuk menegakkan keadilan kerana kami sebagai rakyat biasa sangat-sangat mengharapkan supaya apa yang berlaku atau kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Mohamed Azmin ini diambil tindakan.

“Undang-undang kita tidak mengenal siapa mereka kerana undang-undang juga akan menegakkan bahawa kita yakin dan percaya bahawa negara kita benar-benar mengamalkan Keluhuran Perlembagaan dan juga Kedaulatan Undang-Undang.

“Kita tidak mahu walaupun orang itu bergelar menteri sekali pun, beliau boleh terlepas daripada undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyerahkan memorandum dan laporan penyedia perkhidmatan analisis forensik, Verden Forensics di United Kingdom di Istana Negara hari ini.

Mohamad Ali berkata, pihaknya juga berharap Dr Mahathir dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador akan mengambil tindakan dan melakukan pendakwaan kepada Ahli Parlimen Gombak itu.

“Kita yakin dan percaya memang selama ini kita menghargai, menghormati dan mendukung segala tanggungjawab dimainkan PDRM dalam usaha menjaga keamanan, ketenteraman dan undang-undang di negara kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Bangkit, Shahrin Azlan mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas membuat pendakwaan di mahkamah memandangkan pihak polis mengesahkan telah menghantar laporan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kita desak Peguam Negara buka kes ini di mahkamah. Kita dah desak Perdana Menteri pecat Mohamed Azmin tapi tidak buat juga. Kita minta Perdana Menteri ke jabatan agama Islam ambil tindakan, tidak buat juga.

“Sekali lagi saya mohon Perdana Menteri mengeluarkan Mohamed Azmin dari barisan Kabinet,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M tak sanggup diperalat dalang video intim