Peluang pelaburan baharu di Afrika

Mohammad Nizar (kiri) dan Isaac Musumba pada forum berkenaan.
A
A

IPOH - Usahawan dari negara ini perlu 'mengintai' peluang pelaburan baharu di negara-negara Afrika termasuk Uganda.

Exco Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, saranan berkenan dibuat berikutan pelaburan besar oleh China serta Jepun ke negara-negara berkenaan.

Malah menurutnya, pelaburan dianggarkan berjumlah RM100 bilion itu secara tidak langsung menggambarkan wujudnya peluang pelaburan lebih baik di sana.

"Sekarang ini di Uganda, pelabur-pelabur dari China dan Jepun telah buat pelaburan berjumlah RM100 bilion bukan hanya di Uganda tapi banyak negara di Afrika yang lain.

"Oleh itu, sudah tentu ada peluang lebih baik di sana berbanding di Malaysia. Tentu ada sesuatu di sana dan ini akan membuka peluang kepada usahawan-usahawan Perak," katanya pada sidang media sempena Forum Perak-Uganda (Trade Gateaway Forum) anjuran Dewan Perdagangan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak di Hotel Impiana di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Bandar, Tanah dan Pembangunan Perumahan Bandar Uganda, Isaac Musumba; Pesuruhjaya Tinggi Uganda ke Malaysia, Dorothy Samali Hyuha dan Yang Dipertua DPPM Perak, Datuk Muhiyuddin Abdullah.

Sementara itu, Isaac Musumba berkata, pihaknya turut mempertaruhkan keyakinan dalam menarik kedatangan pelabur luar ke negara berkenaan.

Ini kerana menurutnya, Uganda pernah mengusir pendatang asing dari negara berkenaan sekitar 1970-an.

"Kita pernah usir pendatang asing di Uganda sebelum ini pada 1971 tetapi 20 tahun kemudian, kita lihat perlu adanya keyakinan untuk tarik pelabur luar.

"Jadi, kita nak tanamkan keyakinan itu dan sekarang sudah ada ramai pendatang asing seperti dari Asia di Uganda," katanya.