X

Kindly register in order to view this article
!

Johor siap sedia pelan kontingensi calon UPSR di 12 sekolah

Aminolhuda bersalaman dengan calon-calon UPSR di SK Mutiara Rini, di sini hari ini.
A
A

SKUDAI - Kerajaan Johor telah bersiap sedia dengan pelan kontingensi terhadap calon-calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 12 sekolah dikenal pasti berada dalam hotspot insiden pencemaran di Pasir Gudang.

Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya juga mungkin akan mengambil tindakan drastik dengan memindahkan calon UPSR ke sekolah lain sekiranya ramai yang terjejas.

Beliau berkata, murid darjah satu hingga darjah lima di 12 sekolah berkenaan dicutikan sepanjang UPSR berlangsung.

"Bagi 12 buah sekolah yang dianggap berisiko hanya murid darjah enam sahaja yang hadir kerana kita bimbang apabila berlaku sebarang insiden, keadaan akan kecoh. Jadi murid darjah satu hingga darjah lima di 12 sekolah itu dicutikan. Sekolah lain seperti biasa.

"Selain itu, kita juga telah mengalih kelas peperiksaan di tingkat paling bawah, sebab mengikut kes lepas-lepas, ia berlaku di tingkat atas.

"Seandainya masih berlaku, kita akan pindahkan ke kelas lebih selamat dan jika tetap berlaku juga, mungkin kita akan pindahkan ke sekolah lain. Itu perancangan yang kita telah susun di peringkat PPD Pasir Gudang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa membuat tinjauan dan memberikan kata-kata semangat kepada 136 calon UPSR Sekolah Kebangsaan Taman Mutiara Rini, Skudai di sini hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa khas menangani bencana dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) juga bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan apa jua insiden berlaku.

Beliau turut memaklumkan terdapat peningkatan pelajar menduduki UPSR bagi tahun ini seramai 54,799 calon berbanding 53,971 calon, tahun lalu.

Johor Bahru dan Pasir Gudang mempunyai calon UPSR paling ramai masing-masing 11,904 dan 11,235 calon daripada 11 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!