Kita boleh berpolitik, tapi jangan lupa mandat rakyat

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA- Semua parti dalam PH Melaka perlu memfokuskan usaha kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini tanpa mengira fahaman politik yang berbeza, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau yang juga Pengerusi PH Melaka berkata meskipun setiap barisan kepimpinan dalam sesebuah parti memiliki kaedah tersendiri dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, namun hasrat mereka tetap sama, iaitu membela nasib rakyat.

Katanya semua pihak termasuk sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu berganding-bahu dan memainkan peranan masing-masing dengan melaksanakan pelbagai insiatif hingga ke peringkat akar umbi dalam usaha menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada golongan memerlukan.

"Kita boleh berpolitik tapi jangan sesekali melupakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat yang memberi mandat walaupun melalui apa jua kaedah (sumbangan)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada kira-kira 130 murid anjuran Parti Amanah Kota Melaka di Telok Mas di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Amanah Kota Melaka Datuk Harun Mohamed dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Sementara itu, Adly berkata rakyat negeri itu boleh menilai tahap pencapaian kerajaan PH mentadbir urus negeri itu secara keseluruhan bermula tahun depan menerusi belanjawan yang diumumkan bulan lepas.

Banyak inisiatif baharu kita akan laksanakan untuk mensejahterakan rakyat dan kita boleh lihat prestasi barisan kepimpinan kerajaan PH pada akhir tahun 2019.

"Selain itu, sehingga Disember ini, kita masih belum membuat sebarang pinjaman daripada kerajaan Persekutuan berikutan pelaksanaan pelbagai langkah penjimatan sepanjang memegang tampuk pemerintahan," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: