Budak kecil berpotensi terkena gastrik

A
A
A

Anda Musykil, Doktor Jawab

SOALAN 1

IBU bapa perlu mempunyai pengetahuan membezakan antara sakit perut biasa dengan gastrik yang dialami oleh anak.
IBU bapa perlu mempunyai pengetahuan membezakan antara sakit perut biasa dengan gastrik yang dialami oleh anak.

DOKTOR, anak saya sering mengadu sakit perut, pening dan loya. Gejala itu akan hilang apabila ubat disapu pada perutnya. Bagaimanapun, sakitnya tetap berulang.

Saya ingin bertanya kepada doktor, bolehkah gastrik berlaku kepada kanak-kanak dan mudahkah ia menyerang si kecil? Seperkara, benarkah gastrik boleh dikaitkan dengan psikologi pesakit. Jika ya, apakah rawatannya?

-INGIN TAHU, MARINA YUSOF, 39, BESUT, TERENGGANU

JAWAPAN:

PUAN, gastrik merupakan penyakit yang berlaku akibat keradangan pada dinding perut. Ia terdiri daripada penyakit gastritis, ulser gastrik (ketumbuhan polip dalam perut) dan penyakit GERD atau simptom pedih hulu hati.

Gastrik mudah menyerang sesiapa sahaja yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat. Makan berlebihan pada satu-satu masa, berlemak, pedas, kafein, berkarbonat, makan tidak teratur, perokok, mengambil ubat tahan sakit (aspirin) dan minum alkohol merupakan antara punca gastrik boleh terjadi.

Sesiapa tidak menjaga kesihatan dan pemakanan juga berisiko, tidak terkecuali kanak-kanak. Ia bergantung kepada cara kanak-kanak itu dibesarkan, corak pemakanan serta gaya hidup kanak-kanak itu main peranan.

Artikel Berkaitan:

Puan, biasanya ada perbezaan sakit gastrik atau sakit perut biasa. Sakit perut biasa akan mengakibatkan ketidakselesaan pada perut, cirit-birit atau sakit yang akan berhenti selepas beberapa jam atau hari.

GAMBARAN masalah gastrik yang berlaku.
GAMBARAN masalah gastrik yang berlaku.

Masalah gastrik pula simptomnya berulang. Jika tidak dikawal corak pemakanan, kesannya boleh mengakibatkan pelbagai masalah lain.

Tanda gastrik seperti ketidakselesaan dan sakit perut pada bahagian atas abdomen (pedih hulu hati), perut senak, berangin, pedih, kembung, sendawa, loya dan hilang selera makan. Untuk pengesahan, berjumpalah doktor. Pemeriksaan pada perut akan dibuat melalui proses endoskopi. Pemeriksaan ujian darah juga akan dilakukan untuk mengenal pasti punca sakit perut biasa atau gastrik.

Ubat-ubatan

Gastrik turut dikaitkan dengan psikologi pesakit pada sesetengah kes. Ada pesakit menganggap mereka diserang gastrik, namun apabila pemeriksaan menyeluruh dijalankan, mereka tidak menunjukkan simptom-simptom berkenaan.

Faktor luaran seperti stres membuatkan pesakit berfikir simptom-simptom yang dialami merupakan masalah gastrik.

Bagi merawatnya, doktor akan mengesyorkan rawatan untuk meneutralkan asid dalam badan. Ubat-ubatan tertentu akan diberikan. Doktor akan menyarankan pesakit mengamalkan cara hidup sihat.

Untuk pesakit kanak-kanak, mereka tidak perlu mengambil ubat seperti pesakit dewasa. Namun, doktor tetap perlu menjalankan pemeriksaan menyeluruh sebelum memberikan sebarang jawapan.

Pesakit dinasihati tidak terus mendapatkan ubat di farmasi tanpa sebarang pemeriksaan. Segera berjumpa doktor jika terdapat tanda-tanda membimbangkan.

Profil

DR KIRUBAKARAN
DR KIRUBAKARAN



Dr Kirubakaran Malapan merupakan Pakar Bedah Am, Payudara, Bariatrik dan Endokrin di Hospital Gleneagles Pulau Pinang.