Bekas ahli Umno hanya boleh pegang jawatan lepas PRU15

A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas ahli Umno yang diterima masuk dalam Bersatu hanya akan diberi peluang untuk memegang jawatan sehingga PRU15 bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada budaya parti lama.

Keyakinan ini dinyatakan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi meredakan keresahan ahli-ahli Bersatu yang takut 'bekas-bekas' ini akan membawa masuk budaya Umno.

“Ramai yang tidak senang melihat penerimaan bekas ahli Umno oleh Bersatu. Mereka takut bekas-bekas ini akan membawa masuk budaya Umno. Kita Bersatu tidak mudah terima, ada syarat. Mesti keluar dari Umno dan jadi bebas. Sebagai bebas secara ikhlas sokong PH dan Bersatu.

“Tidak akan ada penerimaan oleh Bersatu sebagai satu kumpulan bekas Umno sebaliknya, hanya akan diterima sebagai individu bebas, rekod akan dikaji dengan teliti.

“Malah jika diterima, tidak boleh pegang jawatan sehingga PRU15. Lama. Ya lama. Ujian keikhlasan tidak boleh dipercepat. Hanya jika betul-betul ikhlas, jika sudah buang budaya Umno, barulah boleh diterima sesuai untuk pegang jawatan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan kali kedua Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Beliau mengakui orang Umno memang bersalah namun tidak wajar hanya kerana Umno seluruh bangsa Melayu dipersalahkan.

Sementara itu, Perdana Menteri juga menegaskan setiap bekas-bekas Umno yang akan menyertai Bersatu tidak akan sesekali diberi peluang mengembangkan fahaman dan cara-cara mereka, iaitu cara Umno.

“Bersatu bersih dan kita akan tentukan ia terus bersih, yang akan bertukar ialah bekas parti lain. Mereka akan serap budaya kita. Mereka akan bekerjasama dengan kita.

Artikel Berkaitan:

“Dengan itu kita akan jadi pelindung kepada orang Melayu sebagai pelindung sementara kerana pelindung yang sebenar ialah kita sendiri.

"Lindungan bagi kita akan terhasil jika kita tidak miskin. Selagi kita miskin kita tidak akan berasa selamat. Bukan politik, bukan kuasa politik, bukan parti politik yang boleh melindungi kita. Kita sudah lihat bagaimana parti politik kita yang terkenal kekuatannya, tetapi parti politik inilah yang meletak kita dalam keadaan amat bahaya,” ujarnya.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi menambah, sekiranya kita kaya, jika kita berjaya dalam semua bidang, tidak ada siapa yang boleh ancam kita.

“Tetapi bagaimanakah kita boleh berjaya, boleh jadi kaya dan maju. Sebenarnya kita ada kebolehan. Tetapi kebolehan yang tidak diguna oleh kita, tidak akan menjayakan kita. Bersatu tahu bagaimana kita boleh berjaya, bagaimana kita boleh selamatkan diri kita, orang Melayu dan Bumiputera lain.

“Tak perlu saya ulas di sini bagaimana Bersatu boleh ubah nasib orang Melayu dan Bumiputera. Namun, yang kita minta hanyalah kepercayaan dan kesanggupan menurut cara yang akan diperkenal oleh kita.

“Percayalah, Melayu boleh selamatkan diri mereka sendiri. Percayalah hanya Melayu sahaja yang boleh selamatkan diri mereka sendiri,” katanya.