Partikel-partikel halus yang membunuh

A
A
A

Medik

MASIH terpahat dalam ingatan saya ketika Muar, Johor diisytiharkan darurat pada tahun 2013. Sehari sebelum kerajaan mengumumkannya, saya telah pun berada di daerah itu bersama wartawan-wartawan daripada agensi lain.

HAMPIR setiap tahun Malaysia berdepan dengan jerebu.
HAMPIR setiap tahun Malaysia berdepan dengan jerebu.

Ketika itu, Muar saya ibaratkan seperti berada suasana filem seram The Others, lakonan Nicole Kidman. Bayangkan, pada pukul 1 tengah hari, keadaan sangat berkabut, kelam dan seperti menjelang senja. Penglihatan juga sangat terhad. Pada jarak 100 meter, kelibat manusia tenggelam dalam debu-debu jerebu.

Angka penduduk yang kelihatan di pekan itu boleh dibilang dengan jari. Semuanya takut, Mereka 'berkurung' di rumah bagi mengelak implikasi buruk kepada diri sendiri dan keluarga. Sekolah, premis kerajaan, restoran rata-ratanya tidak beroperasi.

Kepada yang mempunyai urusan, mereka tiada pilihan lain. Namun, masing-masing memakai topeng dan cepat-cepat mahu meninggalkan destinasi. Menjelang pukul 5 petang, Muar sudah gelap. Seperkara, jumlah yang mendapat rawatan di pusat kesihatan meningkat secara mendadak. Rakan-rakan yang membuat liputan termasuk diri saya sendiri jatuh sakit. Itu penangan jerebu yang bukan calang-calang.

Namun, partikel-partikel halus yang mengundang jerebu itu seperti sudah jadi 'acara tahunan' di negara ini. Bayangkan, hampir setiap tahun Malaysia berdepan dengan permasalahan sama tanpa ada titik penyelesaian.

Apabila diselak 'salasilah' jerebu, ia memang berkaitan dengan aktiviti pertanian melibatkan penebangan hutan dan pembakaran kawasan ladang hasil tangan manusia.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rekod, Malaysia pernah diduga dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang begitu tinggi pada tahun 1997.

Bacaan IPU tidak selamat berlaku lagi pada tahun 2005 yang mencecah bacaan 500 iaitu pada tahap sangat bahaya.

Ingatkan pada tahun 2019, negara bebas jerebu. Oh! Telahan itu salah. Pada 26 September lalu, daerah Batu Pahat mencatatkan IPU pada kepekatan partikel halus (PM) 1.02 (peringkat tidak sihat) dan beberapa bandar juga terpalit.

Jadi, benarlah ramalan pakar yang menyebut bahawa sepanjang tahun ini, jerebu dijangka berlaku pada bulan Mac akan berterusan hingga September. Apa yang pasti, 'gejala' itu boleh melarat hingga pertengahan Oktober bergantung kepada angin yang bertiup dari utara timur.

Punca

Mengulas mengenai permasalahan jerebu, Sihat:Aktif menemui Timbalan Dekan Siswazah, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Talib Latif.

Dr Mohd Talib menjelaskan, dari segi fizikal, setiap kali fenomena jerebu, pastinya jarak penglihatan menjadi terhad dan ia berlaku lantaran peningkatan kepekatan jumlah zarah terampai halus di atmosfera.

DR MOHD TALIB
DR MOHD TALIB

Jelasnya, zarah itu menyebabkan cahaya pantulan dari sesuatu objek dan cahaya matahari diserakkan menyebabkan jarak penglihatan berkurangan.

"Masalah itu terjadi disebabkan suhu permukaan bumi sangat panas. Ditambah lagi pengurangan jumlah hujan dan wap air, sedangkan jumlah zarah di atmosfera lebih dominan,” terangnya.

Bagaimana jerebu boleh memberi impak kepada kesihatan? Jelas Dr Mohd Talib, saiz zarah yang halus menyebabkan ia mudah disedut masuk ke dalam sistem pernafasan.

Kandungan zarah yang mengandungi bahan organik, inorganik yang tinggi seperti sebatian hidrokarbon poli-aromatik dan logam surih seperti plumbum, kromium, kadmium, zink dan ferum.

"Sudah tentulah (faktor-faktor di atas) memberikan kesan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, salah satu punca 'popular' jerebu dilaporkan adalah disebabkan pembakaran yang berlaku di kawasan tanah sangat kering iaitu tanah gambut.

Dengan suhu permukaan bumi yang panas, pembakaran tidak mengambil masa yang lama untuk merebak walaupun hanya dengan punca daripada api rokok, terangnya.

"Kawasan yang kering akan memakan masa untuk dipadamkan kerana api boleh masuk ke dalam tanah dan bergerak sebagai bara. Pembakaran yang berlaku akan menghasilkan banyak asap. "Pembakaran yang biasa di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia misalnya yang mempunyai tanah gambut meningkatkan lagi IPU tidak selamat. Tidak hairan kawasan itu sering menjadi ‘titik merah’ jerebu berbanding kawasan lain," katanya.

Namun, ujar beliau lagi, di negara ini sendiri, terdapat banyak kawasan tanah gambut. Antaranya di pantai barat semenanjung Malaysia, di pantai timur semenanjung Malaysia seperti di Mersing dan Rompin, Johor, serta Sabah dan Sarawak.

"Jika pembakaran berlaku di Sumatera, asap dari sana, hanya mengambil beberapa jam sahaja untuk sampai. Impaknya adalah kepada negara berdekatan seperti Singapura, Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand.

"Faktor jerebu turut disebabkan pembakaran yang berlaku dalam negara terutamanya di kawasan mempunyai tanah gambut meningkatkan lagi bacaan IPU sedia ada," katanya.

Debu berbahaya

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Dalaman, Hospital Pakar An-Nur, Bangi, Dr Maisara Yusra berkata, jerebu sememangnya menjejaskan kesihatan apabila udara di sekeliling dipenuhi dengan debu-debu yang berbahaya yang akhirnya membawa banyak penyakit.

DR MAISARA
DR MAISARA

"Jangkitan kuman ke paru-paru, akut bronkitis, bronkitis yang kronik, asma dan chronic obstructive pulmonary diseases (COPD), mereka yang mempunyai penyakit paru-paru seperti lung fibrosis dan jantung yang lemah serta mereka yang mudah sensitif pada bahan-bahan toksik antara mudah terkesan.

"Kadangkala jerebu boleh juga menyebabkan sakit kepala, gatal mata, hidung dan tekak. Pesakit turut mudah terkena batuk secara berterusan serta menunjukkan simptom-simptom respiratori seperti pernafasan berbunyi atau sesak nafas," katanya.

Paling dibimbangi, jerebu boleh mengakibatkan kematian jika pesakit jantung dan paru-paru menunjukkan gejala semakin lemah! Kata Dr Maisara, jika keadaan itu berlaku pesakit perlu segera mendapatkan rawatan.

JEREBU boleh menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit.
JEREBU boleh menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit.

Katanya, laman web MDPI iaitu perintis penerbitan ilmiah ada memaparkan kajian bertajuk Langkah-langkah Kawalan dan Kesan Pencemaran Udara. Kajian dalam kalangan penumpang pengangkutan awam di Malaysia pada tahun 2017 antara lain menunjukkan simptom akibat udara tidak sihat.

Antaranya ialah pening kepala (85 peratus), batuk (84.8 peratus) dan sesak nafas (84.5 peratus) berbanding dengan hari-hari yang tidak berjerebu.

Responden yang mengadu letih dan lemah pula sebanyak 35.5 peratus), batuk (23.6 peratus) dan pening (18.2 peratus).

Beliau turut mendedahkan golongan lebih berisiko kepada jerebu merupakan kanak-kanak, orang tua, pesakit mempunyai kadar imun rendah seperti pesakit kencing manis yang mudah dijangkiti kuman serta mereka yang mudah sensitif pada bahan-bahan toksik.

Pun demikian, Dr Maisara tidak dinafikan ada juga segelintir masyarakat tidak terjejas kesihatannya akibat jerebu.

Kanak-kanak tidak miliki reaksi perlindungan badan sebaik orang dewasa

SITUASI jerebu memberi implikasi yang kurang menyenangkan kepada kanak-kanak.

Demikian fakta yang diutarakan Pegawai Perubatan Sarjana, Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Universiti Malaya, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim.

DR AMIRUL
DR AMIRUL

"Antaranya penyebabnya saiz badan kanak-kanak lebih kecil berbanding orang dewasa. Mereka mempunyai sistem pertahanan badan yang lebih rendah berbanding orang dewasa.

"Oleh itu, apabila dijangkiti kuman atau terhidu asap, kadar komplikasinya lebih serius berbanding orang dewasa. Kanak-kanak turut tidak mempunyai reaksi perlindungan badan sebaik orang dewasa,” ujar Dr Amirul.

Keadaan fizikal kanak-kanak itu mungkin salah satu sebab yang dipertimbangkan oleh pihak kerajaan untuk menutup sekolah apabila jerebu mencatat Indeks Pencemran Udara tidak sihat berbanding orang dewasa masih terus bekerja, kata beliau.

SEGERA dapatkan rawatan apabila anak anda diserang asma.
SEGERA dapatkan rawatan apabila anak anda diserang asma.

Terangnya lagi, untuk merawat penyakit disebabkan jerebu, ia bergantung kepada penyakit itu sendiri.

"Jika jangkitan kuman, doktor akan membezakan sama ada ia akibat virus atau bakteria. Jika disebabkan virus, rawatan akan diberikan tanpa perlu antibiotik kerana virus tidak dibunuh oleh antibiotik. Antibiotik hanya diberikan jika doktor mengesahkan ada jangkitan bakteria berlaku.

"Jika seseorang itu terkena serangan asma atau COPD akibat jerebu, salur pernafasan pesakit akan tertutup dan menjadi sempit. Pesakit akan diberi rawatan nebulizer bagi membuka kembali salur pernafasan mereka," katanya.

Dr Amirul menyarankan beberapa langkah pencegahan berdepan dengan jerebu antaranya:

- Elak berada di luar rumah jika tiada keperluan.

- Minum air dengan secukupnya untuk menghindari dehidrasi.

- Pakai topeng muka.

- Segera berjumpa doktor sekiranya terdapat gejala-gejala berkaitan masalah pernafasan.

ANEKDOT

KRONOLOGI jerebu paling teruk di Malaysia

1 September hingga November 1997

Fenomena El-Nino di beberapa tempat di Sarawak IPU melebihi tahap 500. Udara kembali normal pada bulan November.

2 Ogos 2005

Seluruh Lembah Klang dan kawasan sekitarnya mencatat IPU sangat teruk. Kerajaan mengisytiharkan darurat di dua kawasan Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor yang mencatat IPU melebihi 500.

3 Oktober 2010

Kualiti udara mencatat tahap bahaya di Muar, Johor dengan bacaan 432. Kemerosotan kualiti udara telah menyebabkan kerajaan mengisytiharkan darurat.

Semua sekolah (170 sekolah) di Muar diarahkan tutup pada 21 Oktober 2010.

4 Jun hingga Ogos 2012

Keseluruhan kualiti udara sedikit merosot namun kebakaran berlaku di Miri, Sarawak menambah peningkatan IPU mencapai tahap 10 mikrometer atau PM10.

5 Jun 2013

Kawasan pembakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia dan tiupan angin dari arah barat daya membawa asap jerebu ke kawasan tengah dan selatan pantai barat Semenanjung Malaysia.

Tiga kawasan berada tahap bahaya iaitu Muar, Johor (IPU 690), Bukit Rambai (IPU 428) dan Bandaraya Melaka (IPU 415) di Melaka.

Kerajaan mengisytiharkan darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan daerah Ledang.

PEMBAKARAN terbuka di negara jiran telah memburukkan situasi jerebu di Malaysia.
PEMBAKARAN terbuka di negara jiran telah memburukkan situasi jerebu di Malaysia.

6 Februari dan Mac 2014

Jerebu dicetuskan oleh kebakaran hutan di Selangor, Perak, Pahang, Johor, Kelantan dan Terengganu.

Kualiti udara menjadi semakin teruk dua kawasan Pelabuhan Klang dan Banting, Selangor mencatat tahap IPU lebih daripada 300.

Keadaan jerebu menyebabkan 203 sekolah di Klang dan daerah Kuala Langat di Selangor ditutup apabila bacaan IPU lebih daripada 200.

7 Ogos hingga September 2015

Pembakaran hutan secara besar-besaran di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan 34 kawasan di negara mencatat status kualiti udara yang tidak sihat apabila bacaan IPU mencapai 200.

Semua sekolah di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka ditutup sebelum diikuti penutupan sekolah di Kuching dan Samarahan.

Bacaan IPU tertinggi 211 dicatat di Banting.

8 Ogos 2018

Bacaan jerebu di beberapa kawasan di negara masih terkawal disebabkan hujan yang turun dengan banyak.

Namun beberapa kawasan seperti Batu Pahat, Johor, Miri, Sarawak dan Johan Setia, Selangor mencecah IPU 150 tidak sihat.