Johor mahu lebih banyak maklum balas Belanjawan Johor 2020

Datuk Dr Sahruddin Jamal
Datuk Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri mahu lebih banyak maklum balas daripada rakyat Johor mengenai idea dan cadangan untuk dimasukkan dalam Belanjawan Johor 2020, yang bakal dibentang November ini.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, maklum balas orang ramai penting baginya untuk mengenal pasti keutamaan rakyat untuk diberi perhatian dalam belanjawan itu nanti.

“Harapan saya agar semua lapisan masyarakat, semua warga Johor, baik dalam negeri ataupun di luar Johor untuk sama-sama membantu saya memberi idea untuk kita membuat bajet yang lebih mesra kepada rakyat dan lebih bagus lagi,” katanya kepada pemberita selepas melawat calon-calon UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Temenggong Abdul Rahman 1, dekat sini, hari ini.

Dr Sahruddin berkata demikian ketika ditanya mengenai apa harapan kerajaan negeri kepada rakyat Johor dalam mengumpul idea bagi belanjawan negeri itu nanti.

“Kita mula mengumpul maklum balas mulai 1 Sept sehingga 30 Sept ini. Kita lihat kepada semua aspek dan tengok mana yang akan jadi keutamaan nanti. Keutamaan kita (dalam Belanjawan Johor) ialah apa yang masyarakat mahukan,” katanya.

Terdahulu, menerusi Facebook rasmi beliau pada 1 Sept, Dr Sahruddin telah menyeru semua rakyat Johor memberikan maklum balas atau idea berhubung belanjawan negeri itu.

Menurutnya, belanjawan itu akan memacu Johor untuk menjadi antara negeri yang terbaik dalam Malaysia.

“Namun, saya tidak mahu belanjawan ini hanya ditentukan oleh kerajaan sendiri. Saya mahu inti pati belanjawan ini lebih bersifat holistik dan inklusif dengan mengambil kira idea, pandangan, input dan 'sentuhan' daripada Bangsa Johor sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Untuk itu, saya menjemput seluruh rakyat Johor untuk memberikan maklum balas semua melalui kaji selidik yang disediakan,” katanya menerusi kenyataan dalam akaun Facebooknya itu.

Rakyat Johor yang mahu menyampaikan idea menerusi kaji selidik itu boleh melayari pautan http://bit.do/KajiSelidikBelanjawanJohor2020.- Bernama