Bolehkah abang susuan jadi wali kepada adik susuannya?

ABANG susuan tidak boleh menjadi wali kepada adik perempuan susuannya. Sebaliknya, carilah wali mengikut susunan yang ditetapkan oleh hukum syarak. -Gambar hiasan
A
A

RAMAI yang sedia maklum, seorang anak susuan tidak boleh berkahwin dengan ibu susuannya dan anak perempuan kepada ibu susuannya serta keturunan ibu susuannya.

Malah, anak itu juga dihalalkan melihat apa yang diharamkan ajnabi kepada ibu susuan dan anak perempuan kepada ibu susuannya itu serta boleh tinggal bersama.

Ini kerana, kesan penyusuan itu telah membawa kepada hubungan kekeluargaan termasuk suami kepada ibu susuannya yang menjadi bapa susuan kepada anak tersebut.

Persoalannya, bolehkah anak susuan itu menjadi wali kepada saudara perempuan susuannya disebabkan hubungan mahram tadi?

Sebelum menjawab soalan itu, perlu kita fahami susunan wali perempuan yang sah mengikut hukum syarak iaitu:

1. Bapa kandung.

2. Datuk sebelah bapa ke atas.

3. Adik-beradik lelaki seibu sebapa.

4. Adik-beradik lelaki sebapa.

5. Anak saudara lelaki seibu sebapa.

6. Anak saudara lelaki sebapa.

7. Anak lelaki kepada anak saudara lelaki seibu sebapa.

8. Anak lelaki kepada anak saudara lelaki sebapa.

9. Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa.

10. Bapa saudara sebelah bapa sebapa.

11. Datuk saudara sebelah bapa seibu sebapa dengan datuknya.

12. Datuk saudara sebelah bapa sebapa dengan datuknya.

13. Moyang saudara sebelah bapa seibu sebapa dengan moyangnya.

14. Moyang saudara sebelah bapa sebapa dengan moyangnya.

15. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (sepupu lelaki).

16. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa (sepupu lelaki).

17. Cucu lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa.

18. Cucu lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa.

19. Anak datuk saudara sebelah bapa seibu sebapa dengan datuknya.

20. Anak datuk saudara sebelah bapa sebapa dengan datuknya.

21. Wali hakim.

Oleh itu, abang susuan tidak boleh menjadi wali kepada adik perempuan susuannya kerana tiada persamaan nasab antara kedua-dua mereka.

Dr Muhammad Zuhaili dalam kitabnya al-Mu'tamad fi Fiqh al-Syafi'e menyatakan, tidak disabitkan dengan penyusuan terhadap pembahagian wilayah (wali) kerana terdapat dalil yang sabit ke atas hukum kekeluargaan dalam bahagian penyusuan.

Sekiranya adik perempuan tadi tiada wali ab'ad atau aqrab, maka hak pernikahan itu jatuh kepada wali hakim.

Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sultan wali bagi orang yang tiada wali." (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Jangan pandang enteng perkara berkaitan munakahat kerana ia berkait rapat dengan nasab kita pada kemudian hari.

(Sumber: Al-Kafi #1131: Hukum Abang Susuan Menjadi Wali kepada Adik Susuannya, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)