UPSR: Agensi siap siaga sebarang kemungkinan di Pasir Gudang

Dr Sahruddin
Dr Sahruddin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Semua agensi di bawah kerajaan negeri bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di Pasir Gudang sepanjang peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berlangsung.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, setakat ini kualiti udara di kawasan Pasir Gudang juga dilihat baik.

“Insya-ALLAH kami semua sudah bersiap sedia dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah buat cerapan udara di sana. Alhamdulillah, udara hingga ke hari ini masih normal.

“Namun, saya kena ingatkan semua, jangan stres, kadang-kadang bila stres boleh menyebabkan kita panik,” katanya kepada pemberita selepas melawat calon-calon UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Temenggong Abdul Rahman 1, dekat sini, hari ini.

Dr Sahruddin berkata demikian ketika ditanya persiapan kerajaan negeri dalam menghadapi sebarang kemungkinan di Pasir Gudang yang pernah mengalami pencemaran udara sehingga menyebabkan murid-murid dan guru menghadapi simptom sesak nafas dan muntah-muntah, Jun lepas.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor Azman Adnan berkata kesemua calon UPSR di Pasir Gudang diletakkan di bangunan dan kawasan yang sesuai serta tidak terdedah kepada risiko (sekiranya berlaku pencemaran udara).

“Murid-murid yang lain (Tahun Satu hingga Lima) bagi 12 sekolah dianggap berisiko, kita telah bagi cuti sebagai persediaan awal jadi kita doakan mudah-mudahan tidak timbul isu di Pasir Gudang. Ini sebagai persediaan kita menghadapi perkara luar jangka,” kata beliau.

Selain itu, 12 sekolah itu turut akan dipantau setiap hari, tambahnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Dr Sahruddin menyampaikan tip dan membaca doa penerang hati bersama-sama calon UPSR di sekolah berkenaan.

Turut diedarkan kepada calon-calon peperiksaan, air zam-zam dan kismis.

Sementara itu, tinjauan Bernama di SK Taman Pasir Putih, satu daripada sekolah yang terjejas dengan insiden pencemaran pada bulan lepas, mendapati semuanya berjalan lancar dan kesemua 186 calon UPSR di sekolah berkenaan tiba di sekolah itu seawal 6.30 pagi.

Bernama difahamkan sembilan daripada 33 murid yang mengalami simptom muntah-muntah, sesak nafas dan pening kepala pada 28 Ogos lepas, yang mengambil peperiksaan hari ini, diletakkan di satu bilik khas di sekolah berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.

Bilik peperiksaan juga dilihat berada di tingkat paling bawah.

Di Johor, seramai 54,799 murid-murid sekolah rendah menduduki peperiksaan UPSR mulai hari ini termasuk 2,175 calon di Pasir Gudang melibatkan 950 pusat di seluruh negeri. - Bernama