Aku bangga jadi anak Malaysia!

Rajendran amat berbangga dilahirkan di Malaysia.
A
A

APABILA bercerita mengenai kecintaan kepada negara, Rajendran Y Kanhiah, 54, ternyata bangga terhadap tanah tumpah darahnya itu.

Berasal dari Taiping, Perak, Rajendran berkata, dilahirkan di bumi Malaysia yang bertuah merupakan nikmat yang amat disyukurinya.

“Saya bangga menjadi anak Malaysia, tanah air yang makmur dan aman, mempunyai pelbagai latar belakang agama, bangsa dan budaya.

“Bagi saya, uniknya Malaysia ini tak akan dapat diperoleh atau didapati di mana-mana negara lain di dunia ini.

“Andai ada sekalipun, suasananya pasti amat berbeza dengan negara kita yang tercinta ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Tugasnya sebagai seorang pegawai polis sememangnya dikelilingi pelbagai bangsa termasuk rakan sekerja.
Tugasnya sebagai seorang pegawai polis sememangnya dikelilingi pelbagai bangsa termasuk rakan sekerja.

Bagi Rajendran, zaman kanak-kanak merupakan antara pengalaman yang paling indah dalam hidupnya.

Menurutnya, dia berpeluang merasai semangat kebersamaan dalam persekitaran yang dilaluinya bersama rakan-rakan pelbagai agama dan bangsa.

“Saya dilahirkan dan dibesarkan di sebuah kampung di Taiping dalam suasana yang penuh kemajmukan, ada Melayu, Cina dan India.

“Saya masih ingat lagi waktu dahulu, kalau ada kenduri, kawan-kawan Melayu saya akan pergi. Begitu juga kalau kita ada kenduri, mereka juga akan datang. Bagi saya, inilah momen yang paling berharga,” katanya yang merupakan pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Bukan itu sahaja, bapa kepada tiga anak ini turut mengakui ada di antara rakan-rakan Melayu di kampungnya boleh bertutur dalam bahasa Tamil.

“Keakraban saya dan rakan-rakan berlainan bangsa umpama isi dengan kuku sehinggakan mereka mampu bertutur bahasa Tamil. Begitu juga saya yang fasih berbahasa Melayu.

“Memang tiada langsung rasa berbeza biarpun berlainan agama dan bangsa. Itu keistimewaan persahabatan antara kami,” katanya sambil mengakui kepelbagaian agama dan bangsa merupakan keunikan utama negara ini.

Dari segi persahabatan, katanya, dia mempunyai seorang sahabat baik berbangsa Melayu.

“Saya India, sahabat baik saya berbangsa Melayu iaitu Asisten Superintendan Shamsul Kamal. Saya berbincang dengannya semua perkara termasuk isu-isu semasa.

“Perbezaan pendapat itu ada tapi kalau kita lihat, sebenarnya perbezaan itulah sebenarnya membawa kebaikan bersama dan yang penting kita bersikap positif dan jujur,” katanya.

Menurutnya, tugas sebagai seorang pegawai polis bukan sekadar kerjaya, namun sebahagian tanggungjawab dalam hidupnya.

Anak keenam daripada 10 adik-beradik berkata, profesion kepolisan merupakan cita-citanya sejak kecil.

“Paling saya gembira dan bahagia apabila ayah dan ibu sentiasa mendorong saya untuk menjadi seorang pegawai polis yang amanah dalam menjalankan tugas demi negara tercinta,” katanya.

Tugas sebagai seorang pegawai polis bukan sekadar kerjaya, namun sebagai sebahagian daripada hidupnya.
Tugas sebagai seorang pegawai polis bukan sekadar kerjaya, namun sebagai sebahagian daripada hidupnya.

Rukun Negara

Mengulas mengenai isu-isu melibatkan perkauman yang cuba dimainkan pihak tertentu, katanya, asas yang penting adalah semua pihak perlu kembali kepada Rukun Negara.

“Sebagai rakyat, kita perlu hormati raja, kembali hayati prinsip-prinsip Rukun Negara, itu merupakan asas yang amat kukuh.

“Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada sudah sememangnya menjamin keharmonian dan kedudukan semua bangsa di negara ini,” katanya.

Menurutnya, amat sukar perjuangan insan-insan terdahulu dalam menuntut kemerdekaan negara dan generasi sedia ada perlu mempertahankan nikmat kemerdekaan yang dikecapi ketika ini.

“Kita sebagai generasi kini yang hidup dalam suasana aman, damai, harmoni dan selesa perlu pertahankan apa yang sedia ada, jangan termakan hasutan anasir yang cuba melaga-lagakan kita.

“Insan-insan terdahulu, berkorban dan berjuang sehingga titisan darah terakhir demi tanah air kita yang tercinta.

“Jadi kita perlu menghargainya, Malaysia tanah air kita bersama,” katanya.

Rajendran bersama rakan setugasnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Rajendran bersama rakan setugasnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Menyentuh soal makanan, antara makanan kegemaran Rajendran ialah nasi kandar dan nasi lemak.

Jelasnya, seleranya terhadap makanan itu sangat ketara apabila dia lebih banyak memilih kedai nasi kandar atau nasi campur selama 33 tahun berkhidmat dalam pasukan polis.

Katanya, dia sangat menikmati makanan tersebut ketika berada di Pulau Pinang yang terkenal sebagai syurga makanan, sebelum berpindah ke Selangor.

“Saya memang minat sangat juadah nasi kandar dan nasi lemak.

“Dahulu sebelum saya pindah ke Selangor, saya tinggal di Pulau Pinang. Di sana, memang syurga makanan, tambahan nasi kandar memang saya suka sangat,” ujarnya yang turut mementingkan soal kebersihan makanan.