Bersatu tidak akan berdiam diri lihat Melayu hancur

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan dasar semasa Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Kali Kedua 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto: Mohd Izari Rosli
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan dasar semasa Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Kali Kedua 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto: Mohd Izari Rosli
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Bersatu tidak akan berdiam diri dengan membiarkan begitu sahaja kehancuran Melayu dan Bumiputera berterusan.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hakikatnya Bersatu ditubuhkan untuk menyelamatkan orang Melayu serta Bumiputera dan parti ini tidak akan berdiam diri melihat golongan ini terus menuju kehancuran.

"Menurutnya, walaupun Bersatu bukan pewaris Umno tetapi kita tetap bertanggungjawab kepada Melayu dan Bumiputera.

"Kita tidak ingin menjadikan Umno selepas tahun 2003 (yang telah menukar haluan) sebagai contoh untuk kita, sebaliknya Bersatu dengan ikhlas berjuang untuk Melayu dan Bumiputera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Bersatu kali ke 2 di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir berkata, soalnya kenapakah keutamaan diberi kepada pribumi dalam negara berbilang kaum.

"Tentulah Bersatu ini menjadi parti perkauman. Kita sudah merdeka lebih dari 60 tahun.

"Di waktu kita mencapai kemerdekaan harapan kita ialah Malaysia akan menjadi negara satu bangsa yang bertutur kata dalam satu bahasa, berbudaya yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi harapan ini tidak menjadi kenyataan. Masing-masing kaum tegas untuk kekalkan identiti kaum mereka.

"Dengan ini kewujudan satu bangsa terhalang, tidak tercapai. Ini tidak berlaku di negara-negara berbilang bangsa yang lain, umpamanya Amerika Syarikat, Australia, Indonesia dan Thailand," katanya.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, pengasingan identiti ini tidak mengapa jika tidak terdapat pengasingan dalam aktiviti hidup dan kemajuan.

"Rata-rata kita dapati pengasingan kawasan juga contohnya kaum-kaum tidak tinggal bersama, tetapi di kawasan masing-masing.

"Ini pula mengasingkan aktiviti hidup yang berlainan. Umpama satu kaum ramai di bandar, satu kaum di desa dan satu lagi di ladang-ladang," katanya.

Dr Mahathir memberitahu, perpisahan ini mempunyai kesan kepada kemajuan ekonomi dan agihan kekayaan antara mereka.

"Umumnya yang tinggal di bandar lebih maju dan kaya dari yang tinggal di desa.

"Oleh kerana orang Melayu dan Bumiputera lain bermastautin di desa maka mereka kurang maju berbanding dengan kaum di bandar.

"Sekarang ini pula bandar sedang berkembang dengan luasnya. Kerana kemiskinan penduduk Bumiputera dipinggir bandar sering menjual tanah mereka dan berpindah jauh dari bandar, iaitu ke kawasan yang kurang peluang untuk menjana kekayaan.

"Maka jarak perpisahan antara yang tinggal di bandar dan di luar bandar pun menjadi lebih jauh.

"Semua yang berlaku ini menakutkan orang Melayu di luar bandar dan orang Melayu dalam bandar yang lebih prihatin terhadap nasib masa depan mereka.

"Mereka mencari perlindungan dari nasib yang buruk yang akan menimpa mereka,

bahkan sudah pun menimpa mereka," katanya.

Dr Mahathir menambah, sebenarnya keselamatan mereka hanya dapat ditentukan oleh mereka sendiri dengan meningkatkan keupayaannya sendiri.

"Dengan perkataan lain mereka hendaklah kejar ilmu dan kecekapan dan sanggup bertekun dalam usaha menjayakan diri mereka. Tetapi mereka sudah begitu jauh ketinggalan di belakang sehingga sukar bagi mereka mengejar kaum yang kaya.

"Mereka berpendapat mereka perlu dilindungi dan untuk ini, pada pendapat mereka hanya boleh dilakukan oleh kaum mereka sendiri melalui politik. Sebab itulah parti yang disertai dan dipimpin oleh mereka sendiri perlu diadakan.

"Inilah sebab-sebabnya kita tubuh Bersatu sebagai parti Melayu dan Bumiputera. Sementara kita lindungi Melayu dan Bumiputera, caranya bukanlah dengan merampas hak dan harta orang lain. Tidak pernah sepanjang kita merdeka ada rampasan dibuat," katanya.