Penyelesaian kepada isu had umur persaraan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan tiada keperluan bagi had usia persaraan sedia ada dilanjutkan kepada 65 tahun.

Beliau berkata, secara rasionalnya sebahagian besar individu dalam lingkungan usia itu tidak lagi mampu untuk bekerja secara cekap selain berdepan beberapa kekangan berkaitan, termasuk faktor kesihatan.

Malah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, keputusan itu muktamad dan dibuat oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pembaharuan Perkhidmatan Awam yang bermesyuarat pada Mac lalu.

Adakah Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran tidak tahu mengenai keputusan yang dibuat pada Mac lalu itu? Hanya Kula Segaran dan pegawai-pegawai beliau tahu jawapannya.

Kita dapat lihat selepas kenyataan dibuat Kula Segaran, ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana situasi yang berlaku di Singapura tidak sama dengan Malaysia.

Seperti kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, perbandingan dengan negara maju tidak tepat berikutan kadar pengangguran adalah berbeza.

“Kadar pengangguran belia Jepun hanya 3.4 peratus diikuti Singapura (5.9 peratus) dan Jerman (6.2 peratus). Di Malaysia ada 500,000 anak muda yang menganggur (10.7 peratus).

Bahkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar melihat cadangan itu bukan satu penyelesaian kepada masalah yang membelenggu golongan pesara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keputusan itu turut membabitkan pihak lain secara berangkai dalam sektor pekerjaan.

Oleh itu, tidak perlu penilaian teliti terhadap cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kerana ia lebih mendatangkan isu berbangkit daripada menyelesaikan masalah.

Yang sebaiknya, pertimbangkan cadangan agar umur persaraan diturunkan daripada 60 tahun kepada 55 tahun kerana pekerja pada usia berkenaan sudah memerlukan rehat sama ada memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga, meneruskan hobi yang tertangguh ataupun melakukan kerja amal lain yang terbantut sebelum ini.

Janganlah bebankan mereka dengan panjangkan lagi tempoh perkhidmatan kerana bagi yang sudah berkira-kira untuk pencen, ia merupakan satu penyeksaan!