Makna sebuah merdeka

A
A
A

SABTU lalu kita menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-62.

Satu sambutan ulang tahun yang tidak kurang pentingnya kerana selepas 62 tahun merdeka, negara masih lagi aman dan sentosa.

Pastinya nikmat keamanan yang dinikmati hari ini adalah hasil perjuangan, pergorbanan dan air mata para pejuang, negarawan serta pengasas bangsa.

Tanpa pengorbanan dan perjuangan orang-orang terdahulu kita tidak akan dapat mewarisi sebuah negara bersama asasnya yang begitu kukuh seperti hari ini.

Kekukuhan asas-asas yang ditinggalkan ini menjadi tiang seri kepada keamanan negara.

Namun begitu, keamanan negara yang dinikmati pada hari ini tidak boleh dicacatkan dengan usaha mana-mana pihak yang cuba untuk mencucuk jarum kebencian, menanam duri perkauman dan merobohkan prinsip-prinsip asas yang telah dipersetujui sejak sekian lama.

Sesungguhnya negara ini ditegakkan atas asas perjanjian dan perjuangan.

Asas tersebut tidak boleh sama sekali dirungkai dan diubah begitu sahaja hanya kerana faktor sentimen dan slogan untuk mencapai persamaan, kebebasan, keadilan dan tadbir urus yang samar dan tidak jelas.

Artikel Berkaitan:

Sejak merdeka, negara telah memacakkan bahawa bumi ini telah mengiktiraf hak keistimewaan peribuminya dalam perlembagaan.

Usahlah cuba digugat tiang seri itu kerana dari sejarah itulah lahir dan terpancarnya identiti dan jati diri negara.

Sememangnya kita boleh bersetuju jika sejak merdeka dan 60 tahun yang lalu terdapat pelbagai kekurangan yang dimiliki oleh pentadbiran masa lalu, tetapi kekurangan itu tidak sampai kepada menanam kebencian dan meruntuhkan sistem nilai dan jati diri negara.

Percubaan meruntuhkan asas-asas kenegaraan atas nama kebebasan, keadilan dan kesaksamaan mengikut acuan Barat sebenarnya merupakan kanser merbahaya yang boleh merosakkan sistem nilai dan jati diri negara secara perlahan lahan.

Bahkan lebih berbahaya dari bahana rasuah dan salah guna kuasa yang sebenarnya boleh dikawal.

Pihak kerajaan hari ini seharusnya memandang serius perkara itu supaya segala macam isu melibatkan soal bahasa, agama, sensitiviti kaum mahupun perebutan kuasa tidak lagi berlaku.

Ini kerana semua ini dikhuatiri hanya melemahkan kestabilan politik negara dan merosakkan pertumbuhan ekonomi.

Akhirnya yang mendapat padah secara langsung ialah rakyat seluruhnya.

Kerajaan sepatutnya menumpukan seluruh kekuatan untuk membentuk dan mencipta dasar-dasar yang selari dengan asas negara sedia ada. Jauhilah apa saja yang boleh menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

Moga negara terus aman dan dapat menyediakan yang terbaik untuk rakyatnya.

Merdeka! merdeka! merdeka!

*Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia